top of page

China gerudi lubang sedalam 10,000 meter


China gerudi lubang sedalam 10,000 meter
PROJEK itu dijangka siap dalam masa 457 hari. - AGENSI

China gerudi lubang sedalam 10,000 meter

BEIJING: Pasukan saintis China mula menggerudi lubang sedalam 10,000 meter ke bahagian kerak bumi dalam usaha meneroka sumber ekonomi baharu.


Lapor The Guardian, misi penggerudian paling dalam dilaksanakan di China itu, bermula pada Selasa lalu di kawasan padang pasir di lembangan Tarim, wilayah Xinjiang.


Peralatan khas digunakan bagi menembusi lebih 10 lapisan batu dan tanah sebelum mencapai kapur dalam bahagian kerak bumi.


Dilaporkan, bahagian kerak bumi mempunyai batuan sejak kira-kira 145 juta tahun.


Projek itu dijangka siap dalam masa 457 hari.


Malah, beberapa media tempatan menyifatkan projek itu bakal menjadi `mercu tanda China dalam penerokaan bumi’.


Perbadanan Petroleum Nasional China menerusi kenyataan memaklumkan misi penerokaan itu akan membolehkan para saintis mengkaji struktur dalaman dan evolusi bumi selain menyediakan data untuk penyelidikan geosains.


Pakar teknikal projek itu, Wang Chunsheng menyifatkan misi tersebut sebagai usaha berani meneroka bahagian bumi yang tidak diketahui, selain meningkatkan pemahaman manusia.


Saintis di Akademi Kejuruteraan China, Sun Jinsheng pula berpandangan projek itu bukan sesuatu yang mudah direalisasikan.


“Kesukaran pembinaan projek penggerudian itu boleh dibandingkan seperti memandu trak besar pada dua kabel keluli nipis,” katanya kepada agensi berita Xinhua.


Peralatan itu direka bentuk untuk menahan suhu bawah tanah sehingga 200 celcius dan tekanan atmosfera kira-kira 1,300 kali lebih tinggi.


Projek itu merupakan sebahagian usaha negara untuk meneroka sumber ekonomi baharu di bawah permukaan bumi.


Setakat ini, lubang buatan manusia paling dalam di dunia masih kekal dipegang Lubang Kola Superdeep di barat laut Russia.


Lubang itu mencapai kedalaman sebanyak 12,262 meter pada tahun 1989 setelah penggerudian dilakukan selama 20 tahun.


Sumber: Utusan


China gerudi lubang sedalam 10,000 meter


Opmerkingen


bottom of page