CHENGDU: Stesen janakuasa hidro Baihetan yang kedua terbesar di dunia dari segi jumlah kapasiti terpasang telah pun beroperasi sepenuhnya pada Selasa, menurut China Three Gorges Corporation, lapor Xinhua.
Dengan beroperasinya stesen itu sekali gus menandakan siapnya koridor tenaga bersih terbesar di dunia menyaksikan enam stesen janakuasa hidro mega di Sungai Yangtze berfungsi menghantar elektrik dari barat ke kawasan di timur.
Operasi Baihetan dilakukan sepenuhnya selepas 16 unit penjana hidro terakhirnya menyelesaikan operasi percubaan selama 72 jam pada Selasa.Dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 16 juta kilowatt, Baihetan menjadi stesen janakuasa hidro yang kedua selepas projek Empangan Three Gorges di wilayah Hubei, tengah China.
"Baihetan menandakan satu kejayaan besar dalam pembuatan peralatan mewah China kerana dilengkapi dengan 16 unit penjanaan hidro, setiap satu mempunyai kapasiti 1 juta kilowatt, kapasiti unit tunggal terbesar di dunia," kata pengerusi China Three Gorges Corporation, Lei Mingshan.
Operasi Baihetan adalah sangat penting kepada peralihan struktur tenaga China, pembinaan Talian Ekonomi Sungai Yangtze dan pembangunan ekonomi serantau yang diselaraskan di negara itu, kata Lei.
Enam stesen janakuasa hidro di Sungai Yangtze, semuanya dikendalikan oleh perbadanan itu, dijangka menjana 300 bilion kilowatt-jam elektrik setiap tahun dan mampu mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 90 juta tan serta pelepasan karbon sebanyak 248 juta tan.
Sumber: Astro Awani
Comments