top of page

CapitaLand Malaysia Trust beli Hab Logistik Elmina pada harga RM180 juta


Hab Logistik Elmina - Foto ihsan CLMT

KUALA LUMPUR: CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) menandatangani perjanjian untuk membeli hartanah logistik automatik berstatus pegangan bebas daripada PTT Logistics Hub 1 Sdn Bhd pada harga RM180 juta.


PTT Logistics Hub 1 ialah anak syarikat milik penuh PTT Synergy Group Bhd (PTT).


Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, CLMT menjelaskan hartanah itu, Hab Logistik Elmina, terletak dalam Taman Perniagaan Elmina, sebuah kawasan perindustrian dan perniagaan di Selangor.


"Cadangan pembelian itu sejajar dengan objektif pelaburan CLMT untuk memberikan agihan pendapatan jangka masa panjang dan mampan kepada pemegang unit menerusi pembelian hartanah berkualiti dengan pendapatan berulang yang stabil," tambahnya.


CLMT memaklumkan pengagihan seunit adalah akretif berdasarkan proforma.


Hab Logistik Elmina iaitu sebuah gudang automatik setingkat setinggi 40 meter yang mempunyai sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) itu dijangka menjana sewa kasar tahunan RM12.3 juta, dengan hasil kasar tahun pertama kira-kira 6.8 peratus.


ASRS yang penting untuk pengurusan gudang moden merupakan sistem kawalan komputer yang menggunakan kren dan robotik untuk mengautomasikan proses peletakan dan pengambilan semula barang dengan cekap.


Hartanah itu mempunyai 19 ruang pemunggahan dengan kemudahan pelaras dok hidraulik dan mampu mengendalikan 30,000 palet.


Hab Logistik Elmina sedang dibina oleh PTT Development Sdn Bhd (PTTD), anak syarikat milik penuh PTT dan akan dimajukan di bawah perintah dan pelan pembangunan diluluskan.

Pembinaan hab itu dijangka siap menjelang separuh pertama 2025.


CLMT berkata, cadangan pengambilalihan itu akan meningkatkan lagi kepelbagaian aset keseluruhan portfolio hartanah syarikat dengan aset tambahan dalam sektor logistik.


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus CLMT CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM), Tan Choon Siang, berkata CLMT telah mengumumkan pelaburan hampir RM330 juta dalam aset perindustrian dan logistik sejak perluasan mandat pelaburan CLMT pada 2021.


"Kami yakin pengambilalihan ini akan mengukuhkan lagi portfolio CLMT dan meletakkan dalam kedudukan untuk mencatat pertumbuhan berterusan," katanya.


Sementara itu, PTT berkata cadangan penjualan itu akan membolehkan kumpulan memanfaatkan nilai pelaburannya dalam Elmina Property yang dijangka mencatat pulangan proforma bersih kira-kira RM18.47 juta.


"Ini dijangka meningkatkan lagi kedudukan kewangan kumpulan," katanya.


Comments


bottom of page