top of page

CAP gesa henti bina zoo baharu, tambah baik zoo sedia ada


CAP gesa henti bina zoo baharu, tambah baik zoo sedia ada Berita Harian www.bharian.com.my
CAP gesa henti bina zoo baharu, tambah baik zoo sedia ada

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkenaan supaya menghentikan pembinaan lebih banyak zoo di Malaysia serta membebaskan haiwan daripada kurungan.


Tanggapan bahawa pembinaan zoo sebagai tarikan pelancong juga perlu dibuang kerana penjagaan yang betul terhadap haiwan di situ, sama sekali tidak diketahui menyebabkan ada haiwan yang mengalami penderitaan yang teruk.


Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata, pihak terbabit perlu memberi tumpuan kepada penambahbaikan zoo sedia ada yang tidak memenuhi syarat bagi memastikan ia memenuhi standard perumahan, penternakan, kebajikan dan kesihatan yang tepat kepada semua penghuni dalam kurungan.


Katanya, kebanyakan pengunjung hanya menghabiskan masa beberapa saat sahaja pada setiap pameran dan menunggu haiwan melakukan sesuatu aksi menarik namun mereka hanya mendapat sedikit pemahaman sebenar mengenai haiwan itu sekiranya ada.


"Walaupun mereka mengaku amat prihatin terhadap haiwan, zoo boleh digambarkan dengan lebih tepat sebagai 'pengumpul' haiwan yang menarik berbanding sebagai tempat perlindungan atau rumah sebenar.


"Zoo berbangga dengan koleksi beberapa spesies eksotik tanpa memikirkan ruang yang sering kali tidak mencukupi dan serba kekurangan dalam kebanyakan penubuhan pusat seperti itu," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.


Mohideen berkata demikian susulan cadangan pembinaan zoo baharu di atas tanah seluas 20.2 hektar di Iskandar Puteri, Johor, selepas Zoo Johor di Jalan Gertak Merah dihentikan operasi sementara sejak 18 Oktober 2020.


Mengulas lanjut, Mohideen berkata, walaupun berada dalam keadaan baik di zoo yang terbaik, kurungan itu sebenarnya tidak boleh meniru habitat haiwan liar.


Katanya, zoo dibina bagi keselesaan pengunjung dan bukannya untuk keselesaan haiwan malah haiwan yang diletakkan dalam persekitaran tidak sesuai bagi sesuatu spesies boleh menyebabkan masalah tekanan dan tingkah laku.


Haiwan dalam kurungan di zoo akan mengalami sindrom zoochosis akibat penyingkiran ini daripada habitat semula jadinya, kekecewaan, kebosanan selain kekurangan kehidupan dalam kumpulan sosial biasa dan tingkah laku stereotaip yang lain.


"Ahli politik dan penyokong zoo tidak seharusnya melihat zoo sebagai tempat berhibur tetapi sebaliknya menangani persoalan sama ada ia patut wujud atau tidak dan jika kewujudannya akan memberikan sebarang tujuan.


"Perkara yang perlu ditekankan ialah semua penubuhan zoologi iaitu zoo mini, taman ular, taman burung, ladang ular dan taman rama-rama, piawaian kebajikan haiwan hampir tidak dipenuhi dan sering mendapat kritikan daripada orang ramai," katanya lagi.


Menurut Mohideen lagi, zoo tidak membiakkan haiwan dengan tujuan bagi menambah populasinya yang terancam dan anak haiwan berkenaan hanya menjadi daya penarik kepada orang ramai.


Bagi hidupan liar untuk terus hidup, komuniti zoo perlu mengalihkan tumpuannya daripada menjaga dan membiak haiwan di dalam kurungan kepada mengarahkan perhatian kepada punca utama mengapa hidupan liar di seluruh dunia berada dalam bahaya seperti kemusnahan habitat, pemburuan haram dan perdagangan haiwan eksotik.


"Pemuliharaan yang serius bermula dengan komitmen manusia bagi menghentikan pencerobohan terhadap habitat hidupan liar dan tidak mengumpul megafauna berkarisma untuk diletakkan di dalam kurungan sebagai trofi hidup.


"Sering kali Ahli Parlimen, EXCO Kerajaan Negeri dan wakil rakyat kelihatan obses dengan idea bahawa kemudahan haiwan di daerah dan pekan kecil adalah satu-satunya jawapan kepada tarikan utama pelancong.


"Penubuhan pusat haiwan seperti itu yang dikendali sama ada oleh Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, kerajaan negeri atau pengusaha swasta, mendedahkan banyak pameran burung atau haiwan di dalam kandang sempit dan tandus yang mana penghuninya sering dieksploitasi untuk melakukan helah atau sesi fotografi.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page