HULU LANGAT: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menafikan dakwaan kadar tarif perkhidmatan pembentungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dinaikkan tanpa sebarang makluman kepada umum.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kenaikan tarif berkenaan sebaliknya sudah dimaklumkan kepada orang ramai sejak tahun lalu, sejurus keputusan mengenainya diluluskan Kabinet terdahulu, pada April 2022.
Kenaikan itu, katanya, dibuat bagi membolehkan IWK merealisasikan proses transformasi selepas mencatatkan kedudukan kewangan yang agak kritikal, sebelum ini.
Beliau turut menegaskan, bakal mengekalkan kelulusan bagi kenaikan tarif perkhidmatan berkenaan bagi memastikan kerja merawat dan menyelia pembentungan di seluruh negara dapat dilakukan sebaik mungkin.
"Keputusan ini dibuat kerajaan terdahulu dan ia sudah dimaklumkan kepada orang ramai. Namun, saya faham pengguna hanya maklum mengenainya selepas melihat caj tertera di bil semasa.
"Ini kerana kenaikan tarif berkenaan berkuat kuasa 1 Januari lalu, sekali gus menyebabkan perkara ini menjadi tular di media sosial," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Berpusat Langat dan Taman Eko Langat di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan portal berita yang mendakwa segelintir pengguna kurang senang apabila menyedari perlu membayar 25 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa bagi caj perkhidmatan pembetungan bulanan masing-masing.
IWK minggu lalu, dilapor mengesahkan tarif perkhidmatan pembetungan bagi kategori domestik diselaraskan sejak Oktober lalu, selepas kali terakhir pelarasan dibuat 29 tahun lalu.
Kenaikan itu dipersetujui kerajaan dan diwartakan bawah Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan), September lalu.
Pelarasan itu menyaksikan kenaikan tarif perkhidmatan pembentungan bagi pelanggan domestik sistem bersambung bernilai RM2 sebulan dengan kadar baharu itu tidak terpakai untuk rumah kos rendah, kampung, kampung baharu dan ladang.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menegaskan ,kementeriannya bakal memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pihaknya ketika ini sedang memperhalusi draf SOP berkenaan yang dirangka berpandukan kajian rintis perlombongan dilakukan di Perak.
"Kita sudah terima draf hasil daripada projek rintis yang dilaksanakan di Perak. Kita juga sedang memperhalusi SOP berkenaan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments