top of page

Cadangan RFP projek LPT3 akan dibentang kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) merupakan lebuh raya bertol yang dicadang dilaksanakan secara kerjasama awam swasta (PPP) melalui bidaan bersaing.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan RFP bagi Projek LPT3 sedang diteliti oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) melalui pelbagai peringkat.


Katanya, ia termasuk Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP) dan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS).


“Sekiranya dipersetujui jawatankuasa di UKAS JPM, cadangan RFP bagi projek LPT3 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan kelulusan.


“Berdasarkan kepada kajian awalan oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), jajaran dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga ke Tunjong, Kelantan sepanjang 122 kilometer telah dikenalpasti sebagai jajaran yang berdaya maju untuk dilaksanakan setelah beberapa siri perbincangan dikoordinasikan oleh pihak UKAS bersama wakil daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Kelantan dan Terengganu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta kementerian menyatakan keputusan terkini mesyuarat Jemaah Menteri berkenaan pembinaan LPT3 dan faktor yang menyebabkan kajian awal tentang jajaran lebuh raya tersebut perlu dikaji semula.


Terdahulu, Ahmad berkata, KKR telah melaksanakan Kajian Kemungkinan LPT3 pada tahun 2009 yang bertujuan untuk menentukan cadangan jajaran lebuh raya tersebut berdaya maju dari aspek teknikal mahupun ekonomi.


Jelasnya, berdasarkan kajian kemungkinan tersebut, cadangan panjang jajaran utama LPT 3 adalah 147 kilometer dari Kampung Gemuruh Terengganu hingga Pengkalan Kubor Kelantan yang melibatkan cadangan pembinaan jalan dengan empat lorong dua hala.


Kos projek pada 2009 katanya, dianggarkan sebanyak RM2.867 bilion dengan piawaian jalan JKR R6 iaitu standard lebuh raya.


“Projek fizikal bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3) masih belum dapat dibina selepas kajian kemungkinan dilaksanakan


“Mengambil kira tempoh kajian kemungkinan yang dilaksanakan sebelum ini iaitu 15 tahun yang lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja awalan pada tahun 2020 bagi memperincikan semula jajaran dan kos bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3),” katanya.


Comments


bottom of page