KUCHING: Cadangan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek sambung tara (interconnection) elektrik berkapasiti 1,000 megawatt (MW) ke Singapura melalui kabel dasar laut telah diluluskan kerajaan pusat pada 15 Februari lalu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek kabel berkenaan ditaja jamin oleh Singapura.
"Cadangan Kerajaan Sarawak melaksanakan projek sambung tara elektrik berkapasiti 1,000MW melalui kabel dasar laut.
"Kabel ini akan merentasi kawasan perairan koridor Muri-Midai sepanjang 720 kilometer," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, status terkini projek itu berada di peringkat penyelidikan teknikal dengan kerja-kerja tinjauan dasar laut.
"Projek ini bagaimanapun dijangka beroperasi secara komersial pada tahun 2031," jelasnya.
Dalam pada itu, Julaihi memberitahu bahawa kerajaan persekutuan juga telah meluluskan cadangan projek sambung tara dengan kapasiti tidak kurang 1,000MW dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
"Ia masih di peringkat kajian awalan oleh Sarawak Energy dan Tenaga Nasional Berhad.
"Bagi projek sambung tara bekalan elektrik ke Sabah, ia dijangka beroperasi pada suku keempat 2024 dan bergantung kepada siapnya projek Northern Grid Extension," jelasnya.
Sumber: Utusan Borneo
Cadangan projek sambung tara elektrik ke Singapura melalui kabel dasar laut dilulus
Comentarios