KOTA BHARU 21 Feb.- Kementerian Sumber Manusia bercadang untuk membuat ketetapan baharu iaitu mewajibkan warga tempatan dan warga asing untuk memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) terlebih dahulu sebelum diambil bekerja di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan berkenaan akan dibuat menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai persediaan untuk lima tahun akan datang.
Katanya, perkara itu difikirkan perlu dibuat supaya semua industri di negara ini membuat persiapan awal berdepan cabaran lebih getir dengan memiliki tenaga kerja mahir.
"Warga tempatan dan warga asing perlu ada SKM untuk bekerja di sini. Mereka tidak boleh menggunakan sijil kemahiran dari negara lain.
"Jadi barulah anak-anak tempatan akan mendapat pasaran kerja lebih besar kerana majoriti yang memiliki SKM sudah tentulah rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata pelajar dalam bidang Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu meningkatkan hubungan dengan pihak industri sebagai persediaan melangkah ke alam pekerjaan.
"Mereka harus mempersiapkan diri dengan hasil kemahiran yang ada untuk dibawa ke dunia luar dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
"Kita juga mahu pelajar melihat kemahiran ini bukan semata-mata untuk bekerja tetapi harus menanamkan dalam pemikiran bahawasanya kemahiran itu juga sebagai ilmu," katanya.
Sumber: Utusan Online
Comments