MUKADIMAH
HASRATNYA hanya satu, mahu menjana ekonomi dan pada masa sama alam sekitar tidak terjejas. Solusi difikirkan untuk menghasilkan tenaga lebih baik dengan menggunakan segala sumber boleh diperbaharui.
Berpegang kepada prinsip asas tersebut, Pancore Power Sdn. Bhd. mengambil langkah berani mula membangunkan beberapa projek hidro mini. Alasannya, itu merupakan teknologi masa depan yang lebih lestari.
Pun begitu, pelbagai cabaran perlu dihadapi pemain-pemain utama dalam industri tersebut termasuklah Pancore Power Sdn. Bhd. sendiri.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ASHRIQ FAHMY AHMAD, Pengarah Urusannya, DATUK AHMAD SUFIAN ABDUL MAJID berkongsi pengalaman beliau mengendalikan projek sulung mereka, Stesen Janakuasa Hidro Kecil Sungai Slim, Daerah Muallim, Perak yang disempurnakan perasmiannya semalam.
TEKNOLOGI RE
Apabila menyebut teknologi berkaitan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy (RE), tidak boleh tidak kita akan memperkatakan bagaimana proses mengeksploitasi sumber tenaga seperti cahaya matahari, angin dan air untuk ditukar kepada tenaga lain seperti elektrik.
Di Malaysia, penjanaan sumber tenaga elektrik sinonim dengan penggunaan stesen penjanaan hidro atau empangan hidro. Jika kita melihat kepada projek-projek pembekalan kuasa elektrik secara besar besaran, ia merupakan salah satu teknologi yang berkesan.
Hidroelektrik menerusi tenaga larian arus sungai (run off river) merupakan konsep yang hanya menggunakan 10 % air sungai dialihkan tanpa perlu menyimpan (empangan), oleh yang demikian ia amat mesra alam.
Teknologi hidroelektrik mempunyai kesan yang sangat minimum terhadap ekosistem berbanding kaedah lain bagi mendapatkan sumber tenaga elektrik.
Pun begitu, pembangunan projek-projek penjanaan tenaga elektrik menggunakan kaedah ini memerlukan proses penyusunan lebih teratur dan sistematik bagi membolehkan semua pihak memahaminya.
Hal ini kerana ramai dalam kalangan pemegang taruh, agensi-agensi yang terlibat serta badan-badan kewangan masih tidak yakin ia teknologi yang akan membawa kehidupan kita lebih baik di masa hadapan.
CABARAN BESAR
Membangunkan projek-projek penjanaan kuasa menerusi RE sememangnya amat mencabar. Bagi mereka yang tiada ‘jiwa’ dan tidak mampu berdaya tahan, ini bukanlah bidangnya yang boleh dibuat secara membuta tuli.
Cabaran pertama adalah faktor geografi yang terhad kerana stesen-stesen janakuasa ini bukan boleh dibina sembarangan. Ia perlukan kawasan tinggi, ada aliran air sungai yang baik serta mencukupi.
Pemilihan kawasan di negeri terlibat perlu mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan. Setelah segala proses dokumentasi selesai, proses pembinaan pula memerlukan pekerja dan bahan binaan masuk ke kawasan terpencil.
Cuma cabaran terbesar bagi industri ini adalah pembiayaan. Amat sukar meyakinkan institusi-institusi kewangan untuk membiayai projek-projek sedemikian kerana kurangnya pengetahuan teknikal yang diperlukan untuk mengkaji risiko dan faedah industri ini.
Antara lain kerana satu-satunya pasaran (pembeli) adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB). Walaupun TNB boleh dianggap pembeli yang tiada berisiko namun institusi-institusi kewangan tetap berasa kurang yakin.
BANTUAN SEDA
Dalam mendepani cabaran tersebut, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) sebagai sebuah pusat sehenti dilihat banyak membantu pemain-pemain industri ini.
Begitupun fungsi agensi ini perlu terus dipertingkatkan, sekali gus memainkan peranan besar dalam mendapatkan perjanjian konsesi contohnya.
SEDA juga boleh bertindak sebagai orang tengah untuk selesaikan isu-isu berkaitan pihak industri dan agensi-agensi kerajaan terlibat.
Sebagai contoh, apabila kami menandatangani perjanjian pinjaman untuk sesuatu projek RE, kami tetapkan tempoh masa tertentu untuk membayar semula pinjaman. Jika sebarang pelaksanaan projek dilambatkan akibat kerenah birokrasi, kosnya akan meningkat.
SEDA juga perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan integriti sumber air sentiasa kukuh. Maknanya sungai yang dipilih perlu dipelihara agar airnya sentiasa ada.
Tiada makna jika kita bina stesen hidroelektrik, 10-15 tahun akan datang sungai itu kering akibat pembalakan atau pembukaan hutan secara berleluasa. Oleh itu kawasan hutan tadahan air perlu digazetkan.
Mereka juga perlu mendesak Bank Negara agar mengambil serius sektor ini dan mainkan peranan lebih berkesan dalam mempromosi pembiayaan terhadap sebarang projek berkaitan RE. Usaha ini sedikit sebanyak membantu bank-bank perdagangan untuk melangkah ke hadapan dalam membantu industri ini.
MENGAPA HARUS HIDRO
Kuasa hidro dalam penjanaan kuasa elektrik merupakan industri yang ideal kerana hampir bebas pencemaran, tiada produk buangan serta tidak memusnahkan alam sekitar.
Air yang digunakan (kuasa arus) akan dilepaskan kembali ke aliran sungai, tiada sebarang pembaziran berlaku.
Sehingga kini penguasaan sektor hidroelektrik dalam negara hanya sekitar 11%. Berbeza jika kita lihat penjanaan tenaga elektrik di seluruh dunia yang menguasai hampir 71 % berbanding kaedah penjanaan elektrik menerusi RE lain seperti solar dan angin.
Hidroelektrik boleh menjadi sumber tenaga domestik yang membolehkan setiap negeri menghasilkan tenaga elektrik sendiri tanpa bergantung kepada penggunaan bahan api fosil.
Melestarikan alam sekitar juga keutamaan pihak kami. Jika tidak, ia tidak selari dengan teknologi hidroelektrik yang kami bawa dan perjuangkan.
Ini termasuk mengehadkan pemotongan pokok-pokok yang tidak perlu semasa membina stesen-stesen hidroelektrik ini. Jika terpaksa ditebang, ia akan diganti semula melebihi jumlah pokok yang ditebang. Ia komitmen kami.
Sumber: Utusan Online
Comments