BUTTERWORTH: Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter yang berlaku di Utara Sumatera jam 2.05 petang waktu tempatan turut dirasai di beberapa kawasan di Pulau Pinang.
Antara yang merasai gegaran, adalah pekerja yang bertugas di Bangunan NB Tower, Butterworth dan penuntut Penang International Dental College selepas bangunan 21 tingkat itu seolah-olah bergoyang kira-kira jam 2.10 petang.
Juruteknik, Mohamad Nor Aimran Elias, 28, memberitahu suasana cemas berlaku apabila beberapa kakitangan yang berada di tingkat 18 hingga 21 NB Tower terasa gegaran menyebabkan ramai yang turun untuk keluar dari bangunan.
Sebagai juruteknik, dia mengambil langkah awal dengan menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat untuk memastikan tahap keselamatan di bangunan tersebut.
"Dalam pukul 2.15 (petang) macam tulah ada berlaku sedikit macam situasi mencemaskan di aras tingkat 18 hingga 21, macam bangunan bergoyang. Masa tu kita tak tahu lagi adakah struktur bangunan atau gempa yang berlaku.
"Lepas tu kita turun dan buat panggilan kecemasan kepada pihak bomba untuk memastikan kawasan kita selamat. Masa kejadian, kita ambik inisiatif keselamatan dengan kosongkan bangunan," ujar juruteknik, Mohamad Nor Aimran Elias.
Turut menceritakan situasi cemas itu ialah kakitangan pejabat peguam di tingkat 16, Abdul Mujib Mohd Jan, 28, yang ketika itu sedang mengerjakan solat Zuhur.
Menurutnya, ketika dalam rakaat kedua, dia mula terasa badan bergoyang tetapi meneruskan solat hingga selesai.
"Ketika jam 2.06 petang, kami digemparkan dengan satu bencana iaitu gempa bumi yang mana goyangannya memakan masa hampir 30 saat. Ketika itu kami sedang solat Zuhur secara berjemaah dan semasa rakaat kedua rasalah gegaran itu. Badan kami goyang-goyang dan ketika itu kami dapat maklumat dalam pukul 2.30 untuk turun," ujarnya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membuat pemeriksaan di bangunan tersebut mengarahkan semua kakitangan turun jam 2.30 petang.
Mereka kemudian dibenarkan pulang jam 4 petang dan tiada kecederaan dilaporkan.
Kakitangan yang bertugas di NB Tower turut menerima kesan gegaran susulan gempa bumi di Sumatera dengan kejadian paling teruk dilaporkan pada 2011 yang menyebabkan ada kesan retakan pada bangunan.
Sumber: Astro Awani
Comments