BAYAN LEPAS: Empat sekeluarga terselamat selepas bumbung sebuah kilang 'terbang' sebelum menghempap dapur rumah yang didiami mereka di Kampung Matahari Naik, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, penghuni rumah berkenaan sedang nyenyak tidur.
Pekerja kilang, Salim Md Suri, 59, berkata dia hanya menyedari kejadian ketika mahu keluar ke tempat kerja kira-kira jam 5.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati sebahagian bumbung dapur rumahnya rosak akibat dihempap bumbung dari kilang berkenaan.
"Kilang itu terletak hanya bersebelahan dengan rumah kami dan bumbungnya dianggarkan lebih 20 meter.
"Sebahagian bumbung kilang itu melayang di atas bumbung rumah saya, manakala selebihnya jatuh di kawasan lapang berhampiran," katanya ketika dihubungi, di sini.
Pada masa ini, katanya, dia sudah memanggil tukang rumah bagi menilai anggaran kos membaiki kerosakan.
Katanya, kos pembaikan keseluruhannya dianggarkan lebih RM3,000 dan dia tidak mempunyai wang bagi membaiki kerosakan dengan kadar segera.
"Mujurlah kerosakan itu tidak terlalu teruk dan yang penting isteri dan dua anak selamat," katanya.
Difahamkan, beberapa lokasi di daerah Timur Laut dan Barat Daya turut mengalami kejadian pokok tumbang ketika akibat hujan lebat dan angin kencang.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi laman Facebook turut melakukan pembersihan pokok tumbang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Baru, Bukit Dumbar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Bukit Jambul.
Sumber: Berita Harian
Bumbung kilang 'terbang' hempap rumah
Comments