JOHOR BAHRU: Projek rejuvenasi Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) yang sedang dilaksana ketika ini didakwa mengakibatkan kawasan perumahan itu kelihatan umpama 'medan perang'
Tinjauan di sekitar kawasan perumahan TUTA mendapati terdapat kesan perobohan terutama longgokan zink daripada gerai haram yang dikumpulkan di tepi jalan.
Longgokan sampah sarap dalam jumlah yang besar termasuk peralatan pembersihan di tepi laluan menyebabkan penduduk mendakwa berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak.
Seorang penduduk, Mokhtar Abdullah, 40, berkata dia yang tinggal di kawasan perumahan itu lebih 20 tahun mendapati kerja pembersihan atau penyelenggaraan dijalankan secara mendadak sejak isu kebersihan flat di TUTA diketengahkan.
Beliau berkata, ia termasuk kerja perobohan binaan tambahan di premis perniagaan, penebangan pokok, pembersihan longkang mahupun kutipan sampah dilakukan setiap hari.
"Jengkaut dan tong besar 'roro' diletakkan menghalang laluan terutama pada waktu puncak.
"Tanah yang dikorek dari longkang tersumbat yang diletakkan di tepi laluan juga dibersihkan namun ketika pelaksanaan kerja berkenaan, penduduk berdepan beberapa kesulitan apabila laluan ditutup dan berlaku kesesakan.
"Transformasi TUTA kelihatan mendadak namun kami berharap sampah dan kotoran yang dikumpul dibersihkan daripada semasa ke semasa," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang peniaga, Lee Kim Kwan, 60, berkata sejak projek rejuvenasi berkenaan dijalankan, sebahagian laluan di kawasan berkenaan terhalang hingga menjejaskan operasi peniaga.
Menurutnya, pihaknya memahami bahawa projek berkenaan adalah demi keselesaan penduduk.
"Ia seharusnya dirancang dengan sempurna supaya tidak menjejaskan pihak lain," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, M Mahaletchumi, 60, berkata penduduk seharusnya bersyukur kerana terdapat usaha dilakukan bagi mengubah keadaan saliran serta mengindahkan kawasan itu.
"Memang ketika kerja pembersihan dijalankan ada laluan ditutup, namun ia bukan sepenuhnya dan kami faham keadaan ini hanya sementara.
"Kami berharap faktor keselamatan orang ramai dan harta benda juga diutamakan sepanjang kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan," katanya ketika ditemui.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim berkata, projek rejuvenasi dijalankan selain di flat turut membabitkan bangunan rumah kedai serta kawasan rumah teres adalah secara berperingkat dan memakan tempoh masa tertentu.
Beliau berkata, projek rejuvenasi kawasan perumahan yang berusia lebih 40 tahun itu terletak di Skudai bukan mudah dan ia memakan perbelanjaan agak tinggi.
Menurutnya, tidak dinafikan, sesetengah kerja terjejas akibat tindakan segelintir pemilik premis membuat pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran.
Katanya, ia termasuk di Jalan Perkasa dan Jalan Temenggong yang menyaksikan longgokan sampah di dalam longkang yang bersaiz kecil hingga mengakibatkan sistem saliran tersumbat.
"Ianya juga dipercayai menyumbang kepada masalah banjir kilat yang pernah berlaku di beberapa laluan di situ sebelum ini.
"Semua pihak seharusnya memahami dan bekerjasama sepanjang kerja pembersihan dan penyelenggaraan dilakukan dan bukan memberi pandangan tanpa mengetahui gambaran sebenar," katanya.
Marina berkata, sebelum ini Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pernah memberi peringatan kepada pemilik premis namun ada yang ingkar.
Menurutnya, bumbung tambahan yang dipasang secara berlebihan juga dirobohkan bagi memberi ruang kepada kerja pembersihan.
"Kita mendapati ia dipenuhi botol, plastik dan sebagainya hingga longkang tersumbat serta ia juga gagal dibersihkan sebelum ini walaupun disedut dengan lori SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sehingga memerlukan kaedah pembersihan berbeza.
"Malah peniaga gerai yang menghalang lalu-lintas dan menyumbang kepada kekotoran dan mereka turut diberi peringatan," katanya ketika dihubungi.
Sumber: Berita Harian
Comments