top of page

Budaya penyelenggaraan masih lemah - Lam Thye


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Budaya penyelenggaraan masih berada di tahap lemah walaupun Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang dapat menyediakan infrastruktur kelas pertama.


Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, budaya itu perlu dikukuhkan demi menjamin keselamatan dan kemudahan kepada orang ramai supaya tidak berlaku lagi kemalangan yang mengorbankan nyawa.


Tegasnya, insiden demi insiden yang berlaku sekali gus menunjukkan dengan jelas bahawa kerja penyelenggaraan masih berkualiti rendah, pelaksanaan lemah serta pengurusan tidak sempurna.


“Buktinya, pernah berlaku keruntuhan struktur di bangunan kerajaan baharu, stadium, taman permainan kanak-kanak yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan. Sementara itu, jalan-jalan dan longkang awam yang tidak diselenggara dengan betul boleh menyebabkan banjir kilat. Sekiranya lubang-lubang dibiarkan tanpa pengawasan selama berminggu-minggu juga boleh menyusahkan pengguna.


“Masalah seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi juga terlalu serius untuk diabaikan. Contoh lain seperti tandas awam yang tidak diselenggarakan dengan baik dapat menyebabkan ketidaknyamanan orang awam. Perkara ini sangat menyedihkan serta menggambarkan mesej buruk tentang etika kerja dan budaya penyelenggaraan kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, situasi yang berlaku itu sekali gus mencerminkan negara ini sebagai ‘infrastruktur dunia pertama tetapi mentaliti dunia ketiga’.


“Kita dapat menyediakan bangunan serta kelengkapan yang canggih tetapi dalam aspek pengekalan dan memastikannya berfungsi dengan baik, kita masih mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan,” jelasnya.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page