SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menerima 50 aduan berkaitan pokok tumbang di Shah Alam, susulan hujan lebat lebih sejam petang tadi.
Antara kawasan terbabit termasuk di Seksyen 8 dan Seksyen 9 Shah Alam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasinya, Norizham Mohd Nudin, berkata pihaknya mengerahkan 20 pegawai dan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
“Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor terima panggilan kecemasan melalui talian Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor pada jam 5.27 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
“Seramai 20 pegawai dan anggota serta jentera dari BBP Shah Alam, BBP Subang, BBP Kota Anggerik, BBP Sungai Pinang dengan bantuan Pasukan Gerak Pantas Bandaraya Shah Alam ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Norizham berkata, bomba mendapati pokok tumbang setibanya jentera di lokasi berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Jalan Liku serta Dewan Angsana Shah Alam.
“Pokok terbabit menghalang jalan raya di lokasi kejadian dan terdapat sebuah kereta jenis Honda ditimpa pokok tumbang bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.
“Bomba bertindak membuka laluan jalan dengan memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata hujan lebat serta angin kencang petang tadi menyebabkan pokok tumbang di beberapa seksyen di kawasan Shah Alam.
“Anggota Pasukan Unit Pantas MBSA bergegas ke lokasi untuk membantu memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang menghalang jalan.
“Pada masa sama, kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok ini juga dibantu oleh kontraktor kawasan.
“MBSA melalui bilik Unit Pantas menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang antaranya di Seksyen 9, 7, 4, 6, 8 dan 14,” katanya.
Beliau juga meminta orang awam agar segera menghubungi pihaknya jika berlaku bencana seperti pokok tumbang dan cerun runtuh, di talian 24 jam di unit pantas 0355105811.
Sumber: Berita Harian
Comentários