KUCHING: Syarikat cari gali minyak dan gas Sarawak Shell Bhd. dan PTTEP HK Ltd. Thailand dijangka menyuntik pelaburan berjumlah AS$10.0 bilion (RM44.1 bilion) untuk mengkomersialkan gas masam di kawasan luar pesisir Sarawak.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kedua-dua syarikat antarabangsa itu juga akan membina Pelantar Gas Pesisir (OGP) di dalam kawasan Taman Perindustrian Petchem di Tanjung Kidurong, Bintulu menjelang tahun 2023.
“Projek OGP 1 oleh Sarawak Shell Bhd. kini sedang melalui proses pemeriksaan tapak dan disasarkan untuk meneruskan pembinaan pada tahun 2023, sementara Projek OGP 2 oleh PTTEP dijangka untuk memulakan kerja-kerja penyediaan tapak bermula tahun yang sama.
“Kementerian juga menerima permohonan untuk 46 projek dengan jumlah pelaburan yang dicadangkan berjumlah RM41.9 bilion merangkumi RM35.45 bilion untuk pelaburan baharu projek keluli hijau, produk kimia dan RM6.47 bilion untuk pelaburan semula bagi pelabur sedia ada di Sama Jaya dan Samalaju,”katanya semasa sesi penggulungan kementerian pada Persidangan DUN Sarawak di sini pada Khamis.
Tambah Awang Tengah, para pelabur di Taman Perindustrian Sama Jaya (Kuching) dan Samalaju (Bintulu) telah mempamerkan pencapaian yang cemerlang dengan jumlah keseluruhan eksport tahun 2022 melebihi nilai eksport tahun 2021.
“Daripada Januari hingga Oktober tahun 2022, Sama Jaya merekodkan jumlah eksport bernilai RM7.14 bilion berbanding RM7.01 bilion untuk tahun 2021, sementara dalam tempoh yang sama, Samalaju merekodkan nilai eksport RM25.2 bilion berbanding RM13.9 bilion pada tahun 2021.
“Terdapat beberapa pelabur sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menempatkan pelaburan yang dicadangkan di Sarawak antaranya Projek Penapisan Minyak Bersepadu dari China dengan cadangan pelaburan sebanyak RM23.4 bilion (USD5.2 bilion) dan Projek Tenaga Hijau dari Australia dengan cadangan pelaburan RM5.4 bilion (USD1.2 bilion),” ujarnya lanjut.
Sumber: Astro Awani
Comments