SHAH ALAM, 19 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah menyenaraikan lokasi ban yang sering runtuh untuk dinaik taraf menggunakan kaedah binaan sistem panel serbaguna (SPS).
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata penggunaan sistem itu dilihat lebih efektif dan dapat mengelak insiden ban rebak berulang.
“Buat masa ini, peruntukan menggunakan kaedah ini diluluskan di Tanjong Karang dan Kuala Langat serta dalam proses diberikan kepada syarikat berkaitan.
“Sebab itu saya minta JPS beri senarai-senarai ban yang sering runtuh supaya tempat sama tidak berulang sebelum dilaksana teknologi ini yang lebih kukuh selain tempoh pembaikan juga lebih pendek. Ban adalah komponen penting dalam pengurusan banjir,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, menjawab soalan wakil rakyat Jeram Dato’ Harrison Hassan, Izham memaklumkan SPS merupakan teknologi pembinaan dalam bentuk bahan panel konkrit pratuang yang dipasang ke dalam sistem struktur rangka dan dinding konkrit.
Katanya, penggunaan teknologi ini bertujuan penambakan sungai, jalan masuk, tembok penahan, asas tetulang jalan kereta api dan sebagainya.
Oktober lalu, Izham berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk bagi pengukuhan ban di Tanjong Karang dan Kuala Langat yang menggunakan teknologi SPS yang lebih cepat, murah dan kukuh.
Sumber: Selangor Kini
Comments