KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengehadkan dan tidak membenarkan lebuh raya baharu dibina bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pembinaan lebuh raya baharu melalui jalan-jalan dalam bandar akan menyebabkan kesesakan kesan kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar.
Bagaimanapun menurutnya, permohonan tersebut akan dipertimbangkan jika ia melibatkan penyambungan lebuh raya ke lebuh raya sedia ada.
"Kuala Lumpur tidak digalakkan mempunyai lebuh raya baharu tetapi kita kena faham terdapat lebuh raya sedia ada, masih tidak bersambung (missing link).
"Contohnya dari Subang Jaya melalui Lebuh raya Baru Pantai (NPE) akan keluar ke Bangsar (jalan dalam bandar) sebelum melalui Mahameru sebelum masuk semula lebuh raya utara.
"Begitu juga dari Seremban, pengguna perlu masuk ke Tol Sungai Besi melalui jalan biasa kemudian baru masuk lebuh raya semula ke Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk ke utara.
"Langkah bagus jika lebuh raya ini bersambung, pengguna tidak perlu melalui jalan biasa," katanya pada pelancaran Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur (PITKL) 2040 di Menara DBKL 1 pada Khamis.
Beliau berkata, setakat ini tiada lebuh raya baharu diluluskan namun pada masa akan datang terdapat empat pembinaan lebuh raya yang boleh dipertimbangkan.
"Ia adalah Lebuh Raya KL Northern Dispersal (KL-Node) ; Lebuh Raya Duta Ulu Klang 2A (Duke2A)-Kampung Baru Link ; Duke 2A-Istana Link dan NPE 2.
"Kesemua lebuh raya ini menghubungkan antara lebuh raya ke lebuh raya, tanpa perlu kenderaan persendirian masuk ke pusat bandar," katanya,
Selain itu katanya, DBKL mengenal pasti sebanyak 50 jalan tidak bersambung dan sembilan jalan perlu dinaik taraf bagi mengukuhkan fungsi jalan sedia ada dan menyuraikan lalu lintas di Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai PITKL2040, beliau berkata, ia merupakan pelan tindakan yang disediakan sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan lalu lintas di Kuala Lumpur terutama pada waktu puncak pagi dan petang.
Jelasnya, PITKL2040 disediakan berdasarkan maklumat semasa dan masa hadapan berkaitan data lalu lintas, zon guna tanah dan intensiti pembangunan, laluan rel, lokasi park and ride serta kawasan stesen transit.
"PITKL2040 memfokuskan kepada penggunaan semua mod pengangkutan awam dan mobiliti aktif dan menambah baik infrastruktur first mile-last mile yang selesa, selamat dan mesra pengguna.
" Ia memberi keutamaan kepada rangkaian pengangkutan awam terutama pengangkutan rel, bas, teksi dan e-hailing dan menyasarkan pencapaian nisbah peratusan penggunaan pengangkutan awam adalah 50:50 menjelang 2025," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comments