Semenyih: Sasaran untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik kepada rakyat dijangka dapat direalisasikan menerusi model baharu penswastaan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan mahu lebih banyak pihak swasta untuk memainkan peranan mereka dalam menyumbang dalam membangunkan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, pembinaan rumah mampu milik adalah antara agenda penting di bawah pentadbiran Pakatan Harapan kerana tempat tinggal adalah salah satu keperluan asas dalam sebuah masyarakat bertamadun.
“Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 unit rumah mampu milik dibina setiap tahun dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sejuta unit rumah siap dibina.
“Ia bukan sahaja tanggungjawab kerajaan malah ia turut memerlukan penyertaan daripada sektor swasta untuk merealisasikannya serta mewujudkan rantaian aktiviti ekonomi dalam negara.
“Oleh itu, kerajaan bercadang supaya model baharu penswastaan dapat diperkenalkan bagi menjamin prinsip tadbir urus dan bernilai tinggi dalam menarik pihak swasta untuk memainkan peranan yang lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Simfoni Rumah SelangorKU @EcoMajestic di sini, semalam.
Majlis penyerahan kunci itu membabitkan 870 rumah berkeluasan 750 kaki persegi seunit yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi berharga RM100,000.
Hadir sama, Pengerusi EcoWorld Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang merangka beberapa inisiatif bersama institusi kewangan untuk memperkenalkan skim perumahan baharu untuk golongan B40.
Katanya, selain memberi penekanan mengenai akses kepada golongan terbabit untuk memiliki rumah, ia turut tertumpu kepada isu seperti pembayaran balik pinjaman perumahan.
“Usaha sedemikian sedang giat dilaksanakan memandangkan berdasarkan indeks tahap ketidakmampuan untuk memiliki rumah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan peningkatan kepada lima peratus pada 2016 berbanding 4.1 peratus pada 2002,” katanya.
Katanya, pemain industri hartanah perlu meneroka penggunaan teknologi disruptif dalam mentransformasi sektor perumahan negara, selain dapat menambah baik kehidupan rakyat negara ini.
Antara teknologi yang dimaksudkan adalah seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data besar, teknologi blockchain, dron dan perkhidmatan e-dompet.
Sumber: HarianMetro
Σχόλια