top of page

Masa Buat Manusia Jadi 'Robot'

Oleh: Dr Nik Roskiman Abdul Samad

Masa menjadi masa siber yang 24/7 menyibukkan kita sehingga kita tiada masa untuk satu sama lain. - Foto hiasan

AMALAN yang mula-mula sekali apabila bangun dari tidur dan mula membuka mata kita pada awal pagi, umat Islam disunat mengungkapkan doa seperti yang dinukilkan dalam kitab-kitab hadis.


Antaranya: “Alhamdullillahilladzi ahyaanaa b’ada maa amaatanaa wa ilaihin nushur”, yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepada-Nya kami dibangkitkan”. (Hadis riwayat Imam Bukhari, No 6325).


Nikmat kehidupanlah antara nikmat yang paling besar selepas nikmat iman dan Islam kerana dengan diberi kesempatan untuk terus hidup, kita masih mempunyai ruang masa untuk melakukan dua perkara.


Pertama, untuk menambahkan lagi amalan soleh kita kepada Allah SWT dan kedua, untuk kita bertaubat atas segala dosa kita yang lalu.


Namun nikmat hidup inilah yang sering kita abaikan, diambil mudah atau take for granted dan mengira ia adalah pemberian biasa-biasa sahaja. Apabila nyawa kita disentap, maka pada ketika itu barulah kita sedar betapa selama ini kita telah mengabaikan usia kita.


Masih terasa kemeriahan sambutan tahun baharu bagi 2018, hari ini kita kembali menyambut tahun baharu, iaitu 2019. Bermakna telah berlalu 365 hari.


Soal sama ada wajar sambutan tahun Masihi atau Hijrah, ia bukan isu pokok di sini. Yang kita bicarakan ialah betapa pantasnya masa berlalu, sama ada dikira berdasarkan tahun Masihi atau Hijrah, sudah setahun berlalu.


Ia bermakna ‘modal’ usia kita telah habis setahun dan kita telah kekurangan setahun. Adakah setahun yang berlalu itu menjanjikan pulangan yang besar pada akhirat kelak? Terpulanglah kepada usaha masing-masing, sama-samalah kita saksikan di Padang Mahsyar kelak.


Tanda-tanda kiamat

Antara tanda-tanda kiamat ialah apabila masa dirasakan berlalu begitu pantas sekali.


Baginda SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi dan turut diriwayatkan oleh imam-imam hadis lain dengan lafaz yang sedikit berbeza.


Mafhumnya: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, manakala sehari dirasakan seperti sejam dan sejam dirasakan seperti kerlipan nyalaan api yang bertiup.”


Ketika Baginda SAW melafazkan kata-kata mulia ini 1,400 dahulu, sahabat RA pada masa itu mungkin tidak begitu memahami dengan jelas apa yang baginda SAW maksudkan kerana pada masa dahulu, peredaran masa tidak begitu terasa seperti yang kita rasakan hari ini.


Dengan pelbagai kesibukan dilalui, peredaran masa di antara siang dan malam pun kadang kala kita tidak perasan.


Manusia dahulu kala, kehidupan mereka diatur mengikut peredaran masa. Mereka mula bekerja apabila matahari mula terbit dan apabila matahari tenggelam, mereka bersiap untuk tidur kerana mereka tidak boleh melihat apa-apa kerana gelap dan begitulah seterusnya.


Kehidupan mereka berasaskan kepada masa tabii yang ditentukan oleh peredaran matahari. Kehidupan mereka begitu terikat dengan persekitaran dan cukup harmoni dengan alam.


Inilah yang disebutkan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Naba ayat ke-10 yang bermaksud: “Kami jadikan malam sebagai pakaian (untuk kamu beristirehat) dan kami jadikan siang untuk kamu mencari rezeki.”


Namun, apabila berlaku revolusi industri dan terciptanya janakuasa elektrik pada abad ke-18, manusia tidak lagi terikat dengan peredaran masa yang diatur melalui peredaran matahari kerana manusia boleh bekerja sehingga pada malam hari sekalipun.


Masa manusia menjadi masa mekanikal dan industri, manusia menjadi semakin sibuk. Matahari naik atau tenggelam tidak memberi apa-apa makna lagi kepada kehidupan manusia, mereka menjadi semakin terpisah dengan peredaran matahari dan alam semesta.


Hari ini, masa berubah menjadi masa siber dan virtual apabila manusia menjadi semakin sibuk sehinggakan 24 jam kita lihat manusia bekerja, ada restoran 24 jam, ada kedai runcit 24 jam, ada klinik 24 jam, siaran TV 24 jam dan bermacam-macam lagi.


Siang dan malam seolah-olah sudah tiada beza dan memberi apa-apa makna lagi. Apa yang boleh dibuat pada siang, seolah-olahnya boleh juga dibuat pada waktu malam.


Ada yang menonton televisyen sepanjang malam, ada yang menghabiskan masa di pusat hiburan 24 jam. Bahkan hari ini kesibukan kita menjadi semakin menjadi-jadi.


Manusia jadi ‘robot’

Masa berlalu sepantas kilat, bak selaju kelajuan internet broadband 4G atau lebih laju lagi. Semua menjadi semakin pantas dan laju, anak-anak kita siang malam dengan gajet permainan mereka, tidak lagi tidur pada waktu yang sepatutnya mereka tidur.


Ibu bapa pula ada ketikanya sibuk dengan peralatan telefon pintar masing-masing, ‘bermain’ WhatsApp, SMS ketika memandu sudah menjadi semacam lumrah walaupun ia adalah satu kesalahan dan membahayakan keselamatan di jalan raya.


Masa menjadi masa siber yang 24/7 menyibukkan kita sehingga kita tiada masa untuk satu sama lain, masa ibu bapa untuk anak-anak.


Kita menjadi ‘robot’ berkejar ke sana ke mari, kita sudah hilang nilai dan hakikat masa yang sebenarnya sehingga terpacul dari lidah kita ungkapan ‘saya tiada masa’, seolah-olah menyalahkan masa.


Isunya di sini bukannya salah masa yang berlalu begitu pantas, tetapi salah diri kita sendiri yang tidak pandai menjaga, menghargai dan menggunakan masa sebaik mungkin. Jangan kita salahkan masa kerana berlalu dengan pantas, tetapi salahkan diri kita sendiri.


Tak boleh kawal masa

Imam Syafii RA pernah mengungkapkan: “Kita menyalahkan masa walhal kesalahan itu dalam diri kita sendiri. Tidaklah masa itu bersalah, tetapi kesalahan itu pada diri kita sendiri, bukan pada yang lain”.


Kita tidak boleh mengawal peredaran masa dan masa akan menjadi semakin pantas semakin hampirnya dunia ini dengan kiamat seperti hadis yang kita sebutkan pada awal tadi.


Namun, apa yang boleh kita ubah ialah bagaimana kita melihat masa dan kepentingannya dengan menjaga masa agar masa kita diberkati Allah SWT.


Ulama memberi tafsiran berhubung hadis tadi bahawa antara lain, masa menjadi pantas kerana hilangnya keberkatan. Bagi mereka yang menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara bermanfaat, insya-Allah masa akan sentiasa cukup baginya kerana berkat masa bersamanya.


Marilah bersama-sama pada awal tahun ini, menginsafi bahawa masa adalah nikmat agung yang Allah SWT berikan kepada kita yang perlu kita hargai dan jaga dengan baik.

Janganlah sekali-kali membuang masa kerana masa itu bukan hak kita untuk dibuang-buang, tetapi ia adalah hak milik Allah SWT. Membuang masa seumpama membazirkan sebahagian daripada diri kita sendiri.


Penulis adalah Felow Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)



Comments


bottom of page