top of page

Beri lesen STB kontraktor G1 hanya kepada lepasan TVET


Beri lesen STB kontraktor G1 hanya kepada lepasan TVET
Kerja-kerja pembinaan bangunan memerlukan kemahiran tinggi.

Beri lesen STB kontraktor G1 hanya kepada lepasan TVET

KUANTAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mencadangkan supaya permohonan baharu lesen pendaftaran Sijil Taraf Bumiputera (STB) gred G1 hanya disasarkan kepada graduan jurusan teknikal serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden PKMM, Abd. Gapar Lambak berkata, ia perlu disusuli syarat ketat seperti temuduga secara bersemuka setelah kerajaan memutuskan tidak akan menghentikan pengeluaran lesen baharu walaupun terdapat lambakan kontraktor G1 hingga G7 ketika ini.


“Perkara ini perlu demi menjaga kepentingan kontraktor sedia ada dan dengan langkah ini, PKMM percaya jumlah kontraktor G1 STB dapat dikawal supaya tidak berlaku lambakan.


“Ia juga bagi membolehkan hanya kontraktor yang benar-benar layak dan tulen beradadalam industri pembinaan,” katanya di sini semalam.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

Khamis lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kementerian itu tidak akan menghentikan pengeluaran lesen kepada kontraktor baharu walaupun terdapat lambakan kontraktor G1 hingga G7 ketika ini.


Nanta Linggi berkata, kementerian itu mengamalkan prinsip demokrasi dalam memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapatkan lesen kontraktor.


Mengulas lanjut, Abd. Gapar berkata, PKMM tetap dengan pendirian untuk mendesak kerajaan membekukan permohonan baharu lesen pendaftaran STB kelas G1.


Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, bagaimanapun, buat masa ini, pihaknya akan berpuas hati jika syarat-syarat permohonan dapat diperketatkan dan dikemaskini dengan beberapa penambahbaikan.


“Sehingga Mei lalu, jumlah kontraktor G1 STB seramai 46751 orang, meningkat lebih satu kali ganda daripada jumlah asal semasa pendaftaran ini dibuka semula pada2019. Jumlah ini sentiasa meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.


Beliau menjelaskan, untuk kelangsungan hidup, setiap kontraktor kelas G1 STB memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 nilai projek setahun.


“Justeru, kerajaan perlu memperuntukkan lebih RM41 bilion setahun. Ini sudah pasti satu bebanan terhadap kewangan negara yang belum pulih sepenuhnya akibat daripada kesan pandemik Covid-19.


“Syarat-syarat yang begitu mudah dan tiada keperluan pengesahan terhadap dokumen wajib semasa permohonan antara punca kenaikan jumlah kontrakor ini secara drastik.


“Sehinggakan ia membuka peluang dan kesempatan kepada orang tengah untuk memanipulasi keadaan ini dengan menawarkan perkhidmatan pendaftaran lesen baruG1 gerenti lulus dan pakej percuma STB dengan harga yang begitu murah dan iklan ini tersebar dalam media sosial dengan meluas,” katanya.


Beliau berkata, situasi itu mewujudkan kontraktor yang tidak layak dan hanya sampingan dalam industri pembinaan negara.


“Ini terbukti apabila pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan siasatan dalaman untuk semakan pematuhan kontraktor (CCA) secara rawak dan mendapati terdapat banyak pemalsuan dokumen. Sepatutnya CCA ini dilaksanakan sebelum kelulusan bukan setelah lulus ataupun semasa pembaharuan sebagaimana yang dipraktikkan sekarang.


“Walaupun penggantungan atau pembatalan lesen dikenakan terhadap kontraktor terlibat, ia menyebabkan berlaku situasi kontraktor yang tidak berkelayakan berada di pasaran dan ada sudah melaksanakan projek.


“Justeru, kualiti pembinaan dan pematuhan syarat-syarat di tapak oleh kontraktor sebegini boleh dipertikaikan. Keadaan ini juga mewujudkan banyak lesen yang hanyamengguna pakai atau meminjam nama sahaja untuk membentuk kumpulan atau kartel. Keadaan ini tidak boleh terus dibiarkan dan tindakan yang berkesan perlu dilaksanakan segera,” katanya.


Sumber: Utusan


Beri lesen STB kontraktor G1 hanya kepada lepasan TVET


Comments


bottom of page