BANGI: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan meneliti laporan Suruhanjaya Siasatan Berhubung Insiden di Tapak Binaan Tanjung Bungah, Pulau Pinang sebelum membuat sebarang tindakan.
Ketua Pengarahnya, Omar Mat Piah, berkata pihaknya sudah menerima laporan terbabit dan akan membuat analisis mengenainya.
“Kita dapat laporan itu pagi tadi. Kita akan meneliti laporan terbabit terutama mengenai pembabitan JKKP. Jika kita buat kenyataan tanpa meneliti laporan itu, mungkin tidak berapa tepat. Jadi kita teliti dahulu laporan terbabit.
“Selepas kita membuat analisis terhadap apa yang terkandung (dalam laporan) itu, kita akan membuat kenyataan. Tidak adil untuk buat sebarang kenyataan tanpa meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen SOHELP Fasa 3 dan Pelancaran SOHELP DIY Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JKKP, Saiful Azhar Mohd Said dan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Khairuddin Hairan.
Semalam, media melaporkan empat pihak termasuk JKKP bertanggungjawab terhadap tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, yang mengorbankan 11 pekerja kira-kira dua tahun lalu.
Tiga pihak lagi ialah jurutera perunding, Khoo Koon Tai dari syarikat perunding projek itu, Perunding KAA Sdn Bhd; jurutera perunding, Victor Ong dari syarikat perunding One Smart Engineering Sdn Bhd dan kontraktor, Choongcons (Penang) Sdn Bhd.
Dapatan itu terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Berhubung Insiden di Tapak Binaan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang diedarkan kepada media.
Laporan setebal 116 muka surat itu ditandatangani Pengerusinya, Datuk Yeo Yang Poh.
Sumber: Berita Harian
Comments