top of page

Belanjawan 2025: Projek naik taraf Jalan Bahau-Keratong


Gambar hiasan

SEREMBAN: Jalan Bahau-Keratong (Pahang) akan mula dinaik taraf pada tahun hadapan dan ini adalah salah satu daripada intipati yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan MADANI 2025 pada 18 Oktober.


Menteri Besar Negeri Sembilan menyambut baik pengumuman tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman belanjawan yang melibatkan projek-projek di Negeri Sembilan.


“Ini termasuk Projek Pertanian (Peningkatan Hasil Padi), Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Projek Naik TarafLoji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah dan Pembinaan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Palong 1, Jempol.


“Belanjawan Madani 2025 yang bertema Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat menggariskan asas halatuju perancangann ekonomi Kerajaan Perpaduan dalam mendepani cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu hari ini.


“Dalam ucapan YAB Perdana Menteri, kita dibawa bersama-sama memahami situasi perjalanan ekonomi dunia dan perihal rakyat yang menjadi rujukan utama dalam menghasilkan belanjawan tahun ini,” jelas Aminuddin.


Ujar beliau, dengan menekankan usaha peningkatan aras lantai dan aras syiling ekonomi negara, Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada tahun ini adalah satu usaha menyeluruh Kerajaan Perpaduan untuk bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara dagang yang mampu bersaing dengan negara-negara lain.


“Dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM421 bilion dan usaha mengurangkan jumlah hutang negara, usaha Kerajaan Perpaduan dilihat tertumpu kepada pengukuhan sektor-sektor ekonomi penting yang dijangka memberi hasil kepada negara dan memperbaiki kemudahan asas dalam sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan.


“Begitu juga sektor pertanian yang lebih menjurus kepada usaha keterjaminan makanan.


“Usaha-usaha ini akan memanfaatkan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira taraf ekonomi kerana melibatkan perkara-perkara asas bagi rakyat sesebuah negara,” ulas Aminuddin.


Aminuddin berkata, terdapat usaha yang lebih praktikal yang akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2025adalah terkait usaha Kerajaan Perpaduan dalam menangani kos sara hidup rakyat.


“Selain menaikkan kadar upah pekerja, kerajaan juga terus meningkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan meluaskan Inisiatif Bantuan Rakyat yang melibatkan kumpulan rakyat B40.


“Kerajaan Negeri Sembilan melihat Belanjawan Madani 2025 adalah satu langkah proaktif Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara ini dengan mengangkat kepentingan rakyat.


“Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan berjalan lancar demi kemudahan rakyat di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin lagi.


Sumber: Negeri Kita

Comments


bottom of page