KANGAR: Belanjawan 2025 Perlis yang bertemakan 'Perlisku Bestari Berkat Lestari' memperuntukkan sejumlah RM303.28 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM196.11 juta atau 64.66 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM107.17 juta atau 35.34 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.
"Secara keseluruhan, perbelanjaan mengurus tahun 2025 meningkat sebanyak RM11.47 juta atau 6.21 peratus berbanding 2024. Daripada jumlah yang diperuntukkan, sebanyak RM67.29 juta disediakan untuk bayaran Emolumen, RM83.47 juta ringgit disediakan bagi menampung perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan.
"Sebanyak RM38.9 juta disediakan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM5.05 juta disediakan untuk tujuan Aset dan RM1.40 juta untuk Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain," katanya semasa membentangkan belanjawan tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kompleks DUN di sini, hari ini.
Mohd Shukri berkata daripada peruntukan pembangunan berjumlah RM107.17 juta itu, sebanyak 51.69 peratus dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan untuk tujuan projek peningkatan prasarana bagi kemudahan rakyat.
"Peruntukan pembangunan bagi tahun 2025 akan diagihkan kepada enam agensi pelaksana utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (RM66.97 juta), Jabatan Kerja Raya (RM20.71 juta), Jabatan Perhutanan (RM7.65 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM6.8 juta), Jabatan Pertanian (RM3.92 juta) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM1.12 juta)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil berjumlah RM122.93 juta pada 2025 yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM23.60 juta, Hasil Bukan Cukai (RM28.93 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM70.40 juta).
"Berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak RM9.7 juta atau 8.6 peratus berbanding 2024.
"Dengan anggaran ini, kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM73.18 juta pada 2025, peningkatan sebanyak RM1.78 juta atau 2.49 peratus berbanding RM71.40 juta pada 2024," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata Belanjawan 2025 Perlis memfokuskan kepada tiga tekad utama iaitu Tekad 1 Anjakan Ekonomi Bestari: Transformasi Menuju Kelestarian, Tekad 2 Keseimbangan Sosioekonomi Tonggak Keberkatan dan Tekad 3 Lonjakan Perubahan: Meluhur Bestari, Meraih Berkat dan Melakar Kelestarian.
Beliau berkata di bawah Tekad 1, Inisiatif 1 ADUN, 1 Kilang akan dilaksanakan tahun depan yang mana melalui program inovatif itu, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan bertanggungjawab menarik sekurang-kurangnya satu kilang atau pelabur sektor pembuatan ke Perlis bagi memperluaskan rangkaian pelaburan ke seluruh negeri.
Sumber: Astro Awani
Comments