KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Tekad kerajaan untuk mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berdaya huni dan manusiawi dilihat mampu direalisasikan menerusi insentif cukai pembelian rumah serta peruntukan penyelenggaraan dan projek naik taraf, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Pensyarah kanan di Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Mohd Zairul Mohd Noor berkata pengumuman tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup penghuni projek perumahan kerajaan.
“Peruntukan RM200 juta bagi menggantikan lif usang di perumahan strata kos rendah dan sederhana awam adalah langkah tepat, kerana banyak bangunan PPR kini menghadapi masalah penyelenggaraan yang boleh mengancam keselamatan dan keselesaan penghuninya.
‘’Dengan jaminan penyelenggaraan berterusan, terutamanya membabitkan lif-lif usang, ia akan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk yang sebelum ini sering berdepan masalah kerosakan lif,’’ katanya kepada Bernama.
Beliau juga menambah bahawa banyak kajian menunjukkan PPR sedia ada tidak lagi memenuhi keperluan penghuni kerana telah berusia puluhan tahun, menjadikan situasi ini cabaran besar bagi kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa dan selamat.
Sehubungan itu, Mohd Zairul berkata bagi memastikan kemudahan dan infrastruktur di PPR kekal terjaga, penghuni perlu diberi kesedaran untuk menjaga harta awam bersama, serta membendung sebarang kegiatan vandalisme di kawasan perumahan tersebut.
“Dalam konteks ini, cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengenakan hukuman lebih tegas terhadap penghuni yang culas membayar yuran penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) adalah tindakan wajar.
“Langkah ini akan memastikan yuran penyelenggaraan dapat dikutip secara konsisten, sekali gus membolehkan penyelenggaraan infrastruktur di semua PPR dilakukan dengan lebih baik, berterusan, dan menyeluruh,” tambahnya.
Selain itu, pemberian pelepasan cukai individu hingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi pemilikan rumah pertama, diharapkan dapat memenuhi impian rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nasrudin Sharkawi berkata menerusi inisiatif tersebut, secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pembelian rumah yang berharga di bawah RM500,000.
“Saya percaya inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan golongan muda yang baru bekerja dan golongan kelas menengah untuk membeli rumah. Tanpa insentif yang diumumkan ini, mereka akan menghadapi kesukaran untuk membeli rumah dan lebih memilih untuk menyewa,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini, berkata kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai individu hingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi kediaman berharga sehingga RM500,000.
Selain itu, pelepasan cukai sehingga RM5,000 akan diberikan bagi rumah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000. Pelepasan ini boleh dituntut untuk tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027.
Sementara itu, arkitek Mohd Azli Mohamad Jamil berkata usaha kerajaan untuk menaik taraf 48 Taman Awam MADANI, yang melibatkan kawasan rekreasi dan landskap dengan peruntukan hampir RM100 juta, berpotensi mewujudkan komuniti yang sejahtera serta meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat.
Beliau juga menambah bahawa dengan memberi tumpuan kepada Kampung Baru Cina dan perkampungan kaum India di negara ini, ia akan secara tidak langsung memenuhi keperluan sosial komuniti tersebut.
“Kawasan rekreasi dengan landskap yang indah memberikan peluang kepada rakyat untuk melakukan pelbagai aktiviti fizikal yang dapat mendorong kehidupan yang aktif. Selain itu, akses kepada ruang hijau juga dapat membantu mengurangkan masalah berkaitan kesihatan,” ujarnya.
“Kajian menunjukkan bahawa menghabiskan masa di ruang hijau atau alam semula jadi, dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan mood dan pemperbaiki fungsi kognitif individu itu,’’ katanya.
Sumber: Bernama
Comments