top of page

Belanjawan 2025: Lebuhraya Kuantan-Singapura antara projek berpotensi diumum - RHB Research



KUALA LUMPUR: Beberapa projek infrastruktur yang tidak pernah mendapat perhatian meluas dijangka berpotensi untuk dibentangkan di dalam Belanjawan 2025 nanti.


Menurut penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang dilancarkan pada September lalu menandakan hasrat kerajaan untuk mempercepatkan perluasan infrastruktur dengan memanfaatkan sumber daripada sektor swasta.


"Antara bakal projek penting (mungkin belum lagi mendapat liputan media arus perdana) yang dibangkitkan bawah PIKAS 2030 termasuk Lebuhraya Kuantan-Singapura, projek pemanjangan Lebuhraya Pantai Barat (Banting-Nusajaya), Koridor Logistik Klang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Klang, dan Lebuhraya Pasir Gudang.


"Mana-mana satu daripada projek ini mungkin akan disebut semasa pembentangan Belanjawan 2025 nanti.," katanya dalam nota penyelidikannya semalam.


Tambahnya, antara perkembangan lain yang berpotensi dibentangkan dalam Bajet 2025 adalah keputusan sama ada sistem transit aliran ringan (anggaran kos: RM16.7 bilion) atau sistem transit autonomi bertingkat (EART) (anggaran kos: RM7 bilion) akan dilaksanakan di Johor Bahru.


"Pada Mei lalu, Kementerian Pengangkutan dijangka melengkapkan kajian berhubung cadangan EART di Johor Bahru pada Ogos – yang mungkin membuka ruang untuk kemas kini semasa pembentangan Bajet 2025.


"Di samping itu, dijangka ada perkembangan mengenai Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang, dengan anggaran kos RM1.8 bilion.


"Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan PLUS Malaysia secara rasmi memulakan perbincangan mengenai projek ini pada Januari lalu untuk menangani masalah kesesakan trafik yang berlarutan di Seberang Prai," katanya.


Antara syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada projek-projek ini termasuk Gamuda, Sunway Construction, dan IJM Corporation, yang mempunyai rekod cemerlang dalam projek infrastruktur kerajaan.


Pada masa yang sama, Gabungan AQRS dan Econpile mungkin muncul sebagai sub-kontraktor untuk projek berkenaan.


Adam berkata, pihaknya terus berpegang dengan pandangan sebelum ini bahawa perbelanjaan pembangunan (DE) bersih bawah Belanjawan 2025 dijangka akan tetap berada pada paras tinggi iaitu sekitar RM90 bilion, selain peratusan besar daripada peruntukan DE itu diketepikan untuk subsektor pengangkutan membabitkan projek-projek lebuh raya, pelabuhan dan kereta api.


"Pelaksanaan levi pelbagai peringkat ke atas pekerja asing yang akan dikuatkuasakan nanti mungkin mendatangkan beberapa isu, iaitu tahap levi lebih tinggi akan dikenakan sekiranya pengambilan pekerja asing lebih ramai," katanya.


Comments


bottom of page