KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) akan melabur dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan bekerjasama dengan akreditasi kemahiran industri serta institusi pembangunan dalam usahanya meningkatkan bidang latihan itu.
MRCB dalam kenyataan media hari ini berkata sebagai salah satu syarikat kejuruteraan dan pembinaan terkemuka, ia komited untuk memupuk bakat pembinaan generasi akan datang di negara ini.
Bagi tujuan itu MRCB akan bekerjasama dengan institusi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia untuk meningkatkan program berkaitan pembinaan pusat TVET dan mewujudkan program yang disesuaikan dan meningkatkan kemahiran untuk golongan muda.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada Pembinaan Modular, iatu kaedah pembinaan mampan yang mengurangkan sisa dan pelepasan karbon, di samping mengurangkan penggantungan industri kepada buruh asing.
"Dengan melabur dalam mempertingkatkan program TVET ini, MRCB bukan sahaja akan memastikan ia mempunyai kumpulan bakat yang mantap dalam pembinaan modular tetapi juga membantu mengembangkan tenaga kerja mahir industri pembinaan.
"Ia juga menyokong peralihan penting ini kepada lebih inovatif dan kaedah pembinaan yang mampan. Program TVET Pembinaan Modular baharu yang akan dibangunkan oleh MRCB akan meningkatkan kecekapan, dan membangunkan tenaga kerja sedia pasaran.
"Inisiatif TVET baharu ini adalah tambahan kepada kerjasama sedia ada MRCB dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Penjara Malaysia, dalam program yang dipanggil PEKA (Peluang Kedua Anda), yang menyediakan latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan untuk pesalah terpilih yang bakal menghabiskan hukuman penjara," kata kenyataan itu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekurang-kurangnya 50 syarikat akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi TVET bagi memastikan golongan belia tidak terperangkap dalam situasi 'underemployment' sekali gus memenuhi keperluan industri.
Katanya, syarikat ini akan menerajui operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan perindustrian (ILP) dan institut kemahiran belia negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan industri.
Sumber: Berita Harian
Comments