KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat meneruskan projek High Speed Rail atau HSR yang ditangguhkan sebelum ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berikutan projek berkenaan dijangka menjana kesan pengganda positif terhadap ekonomi negara.
"Pada dasarnya, kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek High Speed Rail atau HSR kerana projek ini dijangka dapat menjana kesan pengganda yang positif terhadap ekonomi negara.
"Namun begitu ia tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan Singapura," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Pada masa sama, beberapa projek infrastruktur pengangkutan lain akan turut diteruskan.
"Pada tahun 2021, sebanyak RM15 bilion disediakan bagi membiayai antaranya projek Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas - Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama.
"Selain itu, beberapa projek lain juga akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodland, Singapura dan MRT3 di Lembah Klang," ujarnya.
Beberapa projek baharu berjumlah hampir RM3.8 bilion ringgit juga akan dilaksanakan seperti berikut:
Pertama: Projek Fasa 2 bagi pembinaan Jambatan Klang Ke-3 di Selangor;
Kedua: Meneruskan Projek Central Spine Road di jajaran baharu di negeri Kelantan dan Pahang;
Ketiga: Menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu;
Kempat: Menaik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kulim, Kedah;
Kelima: Meneruskan projek Fasa 3 bagi membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang, Selangor;
Keenam: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi pakej dari Serusop ke Pituru; dan
Ketujuh: Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands, Pahang dengan penekanan langkah pemuliharaan alam sekitar.
Sumber: Astro Awani
Comments