BEKALAN air terawat dari Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air negeri Johor.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dalam hal ini kerajaan terus mengutamakan rundingan dan pandangan pihak berkepentingan.
Menurut beliau, biarpun usaha mengurangkan kebergantungan kepada Singapura dirangka dan sedang dilaksanakan melalui projek ‘zero dependency’ menjelang 2030, ia mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Ini mengambil kira pertumbuhan sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kajian semula Perjanjian Sungai Johor 1962 yang dilihat tidak adil kerana membenarkan Singapura menerima 250 juta gelen air dari Johor sehingga 2061 pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Akmal Nasrullah berkata, antara projek ‘zero dependency’ itu adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar 3.
Katanya, projek-projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekali gus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang.
Jelas beliau, dalam isu kadar jualan air mentah kepada Singapura berdasarkan Perjanjian Air 1962, Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang berhati-hati dan teliti.
“Sebarang perubahan terhadap kadar ini perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari Singapura, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor. Hal ini penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, perjanjian ini membenarkan Singapura mengambil sehingga 250 juta gelen sehari (MGD) air mentah dari Sungai Johor pada kadar RM0.03 setiap 1,000 gelen.
Sebaliknya kata beliau, negeri Johor membeli air terawat dari Singapura pada kadar RM0.50 setiap 1,000 gelen.
“Berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 juta gelen sehari (MGD) air terawat, jauh melebihi kadar 5 MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian. Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun ditanggung oleh negeri Johor,” katanya.
Terdahulu beliau memberitahu, berdasarkan perbincangan pada Oktober lalu bersama Menteri Besar Johor dan kementerian, diputuskan bahawa semakan kadar air mentah tidak perlu dirundingkan buat masa ini.
Sumber: Wilayah Ku
ความคิดเห็น