Pasir Puteh: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitu kekecewaan ditanggung 300 pemilik berikutan mendakwa dua kali diperdaya pemaju apabila pembinaan rumah idaman mereka terbengkalai sehingga kini.
Malah, 'pemaju penyelamat' yang diarahkan mahkamah untuk menyiapkan rumah di Taman Jaza Sri Pasu yang kini dikenali Taman Damai juga dikatakan lepas tangan.
Pengerusi taman perumahan itu, Mohd Solahuddin Ahmad, 49, berkata taman perumahan mengandungi rumah teres dan banglo itu sepatutnya siap pada 2009, namun sehingga kini mereka tidak menerima kunci rumah.
Katanya, kebanyakan pembeli adalah pesara tentera dan penjawat awam yang membuat pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
"Sudahlah pemaju terdahulu gagal menyiapkan rumah, namin apabila dapat pemaju penyelamat, mereka minta kami buat pinjaman kedua.
"Sedangkan kami sudah bayar ansuran pinjaman pertama antara RM300 hingga RM1,000 setiap bulan, namun hingga kini tidak dapat tinggal di rumah sendiri," katanya ketika ditemui di taman perumahan itu.
Menurutnya, keadaan itu memberi tekanan perasaan kepada pembeli kerana kebanyakan mereka mengharapkan rumah yang dibeli mampu didiami selepas bersara.
Katanya, akibat itu dia masih menyewa sehingga kini sedangkan duit pencen dipotong LPPSA dan terpaksa bekerja lagi bagi menampung kos kehidupan.
"Kami sudah bersabar sejak 12 tahun lalu, dan kalau tidak mahu siapkan, kami mohon pemaju lepaskan kami, biar kami cari kontraktor sendiri untuk siapkan rumah ini.
"Keadaan rumah semakin lama semakin rosak, ada juga rumah yang langsung tidak dinaikkan tiang, kasihankanlah kami.
"Ada juga, pembeli yang bertindak menyiapkan sendiri rumah kerana tidak mahu terus menumpang di rumah keluarga," katanya.
Mohd Suhairi Mohamad Zainal Abidin, 35, berkata pemilik sudah mendapat cabutan nombor rumah, namun rumah yang diidamkan tidak siap hingga kini.
"Saya buat keputusan siapkan rumah dengan kudrat sendiri dan sudah berhabis lebih RM50,000.
"Sekarang beli bahan binaan dengan duit sendiri, malah saya nekad tinggal di rumah separa siap kerana sudah berkeluarga.
"Takkan masih mahu menumpang rumah keluarga sedangkan saya sudah beli rumah, namun terbengkalai begitu saja," katanya.
Adris Mat Jeri, 42, pula berkata, pembeli sudah membuat pelbagai aduan kepada pihak berkaitan namun tiada sebarang penyelesaian.
"Bantulah kami, kami sudah habis cara, duit pencen dipotong setiap bulan, kami minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, pemaju dan pihak berkaitan bantu.
"Kami hanya ingin nikmati dunia pencen dengan tenang bersama keluarga tersayang selepas puluhan tahun bekerja," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentarios