top of page

Banjir kilat: DBKL susun atur semula punca air bertakung


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Takungan air di tapak Bazar Ramadan Jalan Raja dikenal pasti berpunca daripada daripada 'water barrier', kabel-kabel punca kuasa yang tidak tersusun serta kanvas khemah yang telah menyekat aliran air dengan sempurna.


Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyusun atur semula water barrier yang diletakkan di tepi laluan Dataran Merdeka dan kabel-kabel punca kuasa supaya tidak menghalang ruang aliran air.


Menurutnya, DBKL juga telah membesarkan 'scupper drain' di kiri kanan Jalan Raja bagi memastikan aliran air berjalan lancar.

"Keadaan ini dijangka tidak akan berulang setelah segala kerja penyusunan dan kemaskini siap dilaksanakan. Pasukan petugas khas yang mengawal serta memantau bazar Ramadan ini telah diarahkan supaya sentiasa bersedia dan mengambil tindakan pantas jika berlaku kejadian yang serupa.


"Pada waktu yang sama, para peniaga juga diingatkan supaya tidak meletakkan halangan seperti peralatan mereka yang boleh menyebabkan aliran air tersekat jika berlaku hujan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Semalam Sinar Harian melaporkan tapak Bazar Ramadan Jalan Raja dilanda banjir kilat kira-kira 20 minit setelah hujan lebat selamat setengah jam.


Keadaan itu menambah kegelisahan dalam kalangan peniaga yang belum reda dengan masalah kurang sambutan pengunjung ke bazar berkenaan yang mula beroperasi sejak awal Ramadan.

Turut dibangkitkan terdapat peniaga yang terjejas kerana berlaku kebocoran bumbung kanopi.


Sementara itu, Norhaslinda dalam kenyataan sama memaklumkan terdapat 3 ruang tapak niaga telah dikenal pasti mengalami kebocoran iaitu di tapak 26, 32 dan 41.


"Kontraktor berkaitan telah diarah untuk menjalankan kerja baikpulih dan dijangka dapat diatasi pada hari ini," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page