BENCANA banjir yang dahulunya teruk melanda negeri-negeri pantai timur kini kerap berlaku di Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah, menyebabkan ribuan orang terjejas dari segi tempat tinggal serta mendedahkan kelemahan dalam respons bencana sedia ada.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, di peringkat global, banjir dahsyat yang berlaku di Sepanyol pada akhir bulan lalu menunjukkan betapa kurangnya persiapan boleh menggandakan kemusnahan dan ia bukan kejadian terpencil malah amaran tentang apa yang bakal mendatang.
Untuk itu katanya, pihak bertanggungjawab perlu memberi keutamaan kepada latihan yang lebih baik untuk anggota penyelamat, memodenkan peralatan dan memperkemas koordinasi antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kelewatan bantuan dan komunikasi yang terputus-putus hanya memburukkan lagi kesan bencana.
“Kita juga perlu belajar daripada amalan terbaik di peringkat global seperti Cuba yang menyediakan contoh daya tahan bencana sangat berkesan. Dengan sokongan pelbagai pihak, Cuba telah mengintegrasikan pengurangan risiko bencana (DRR) ke dalam sistem pendidikannya.
“Sekolah-sekolah melatih pelajar untuk memahami risiko bencana, menjalankan latihan kecemasan dan melibatkan golongan muda dalam merangka pelan pengurangan risiko untuk sekolah serta komuniti mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Syerleena berkata, pendekatan itu menyelamatkan nyawa dengan mempersiap kanak-kanak agar bertindak tegas semasa kecemasan, mengurangkan kerentanan dan membina budaya kesiapsiagaan.
Selain itu, Cuba telah melaksanakan dasar yang membolehkan kerajaan mengambil alih aset swasta seperti kenderaan, peralatan dan fasiliti semasa bencana dan ia memastikan semua sumber yang ada dapat digerakkan dengan cepat serta berkesan.
“Malaysia harus mempertimbang untuk mengguna pakai dasar serupa. Bayangkan perbezaannya jika sumber sektor swasta, seperti kenderaan pengangkutan dan jentera, boleh digunakan secara sah untuk menyokong usaha menyelamat.
“Ini bukan sahaja akan mengukuhkan keupayaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tetapi juga menanamkan rasa tanggungjawab bersama di kalangan semua sektor masyarakat.
“Kesiapsiagaan bencana perlu dimulakan sejak usia muda. Dengan mengintegrasikan DRR dalam kurikulum sekolah Malaysia, kita dapat membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengurangkan kerentanan,” katanya
Beliau berkata, sekolah perlu mengajar pelajar mengenai risiko bencana, menjalankan latihan berkala dan memberi kuasa kepada belia menyertai dalam merangka pelan pengurangan risiko bagi sekolah dan komuniti mereka.
Katanya, generasi yang terdidik dan bersedia adalah pertahanan terkuat negara terhadap bencana yang mendatang.
“Masa untuk bertindak adalah sekarang. Kita perlu memperkasa NADMA dengan sumber dan kuasa untuk memimpin respons bencana yang berkesan.
“Kita juga perlu mengintegrasikan DRR dalam sistem pendidikan untuk mempersiapkan generasi akan datang. Selain itu, kita perlu mengadaptasi dasar inovatif, seperti yang dilakukan di Cuba, untuk memobilisasi semua sumber yang ada semasa krisis,” jelasnya.
Katanya, pengurusan bencana bukan sekadar tindak balas, ia melibatkan kesiapsiagaan, ketahanan dan tanggungjawab.
Sumber: Wilayah Ku
Comments