“SAYA kecewa dengan pihak pemaju kerana rumah yang diserahkan hanya sekadar indah khabar daripada rupa,” kata Azman Abd Aziz, 57, salah seorang pembeli rumah banglo dua tingkat di Tok Jembal, Kuala Nerus.
Azman berkata, dia membayar RM6,000 sebulan untuk membeli banglo berharga lebih RM800,000 itu, tetapi malangnya pelbagai masalah terpaksa dihadapi dia dan keluarga.
“Terbaharu, atap genting rumah jiran jatuh ke bahagian rumah saya sehingga menyebabkan kerosakan teruk.
“Mujurlah ketika kejadian, saya dan keluarga tidak berada di kawasan itu, jika tidak pasti ia mampu mencederakan atau meragut nyawa.
“Selepas kejadian itu, saya berasa tidak selamat untuk berada di luar rumah kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Azman berkata, bukan sahaja struktur atap tidak kukuh dan tidak selamat, malah beberapa bahagian di dalam rumah bermasalah.
“Masalah itu termasuk permukaan lantai tidak padat dan mudah pecah selain dinding rosak, tetapi tidak dibaiki menyebabkan saya buntu memikirkan jalan penyelesaiannya.
“Aduan sudah dibuat di semua peringkat bermula daripada peringkat negeri hingga ke peringkat pusat, namun pemaju tidak memberi maklum balas sepatutnya.
“Wakil pemaju pernah datang sekali untuk membaiki lantai yang pecah di luar rumah, tetapi tidak sampai dua bulan ia kembali rosak,” katanya.
Azman berkata, dia berasa tertipu apabila membeli banglo berkenaan kerana ia tidak seperti digambarkan sedangkan harganya amat mahal.
“Sebelum berpindah ke rumah ini pada Mei 2018, saya sudah meminta pihak pemaju membaik pulih semua kerosakan di rumah kerana kami sekeluarga akan mula mendiaminya.
“Mereka tidak mengendahkan aduan saya dan akhirnya saya terpaksa berpindah ke rumah ini dan menghadapi pelbagai masalah.
“Saya berharap pihak pemaju mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini kerana selagi ia tidak dibaiki, kami tidak berasa selamat untuk tinggal di rumah,” katanya.
Isterinya, Zubaidah Mohd Zaid, 52, berkata, kerosakan berlaku itu membuatkan mereka sekeluarga berasa tidak gembira serta kurang selamat mendiami rumah berkenaan.
“Sepatutnya kami bergembira apabila berpindah ke rumah baharu, tetapi sebaliknya berlaku apabila terpaksa menghadapi masalah berkenaan.
“Saya sudah lama mengidamkan untuk tinggal di rumah sendiri, tetapi hampa apabila rumah dibeli suami tidak seperti diharapkan,” katanya.
Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa berhadapan dengan masalah banjir di rumah sewa sebelum ini, tetapi kini perlu memperjudikan keselamatan diri menetap di rumah berkenaan.
Katanya, mereka berharap aduan itu membuka mata pihak pemaju supaya bertanggungjawab dan menyelesaikannya secepat mungkin.
Sumber: Harian Metro
Comentarios