KUALA LANGAT – Bahan turapan lebih kukuh antara ditekankan bagi projek pembinaan dan naik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara, Klang dekat sini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini bagi memastikan kualiti jalan seterusnya mengelakkan jalan berlubang ekoran digunakan kenderaan berat.
Katanya, setakat ini kemajuan projek tersebut masih dalam peringkat cadangan termasuk dari segi rekabentuknya.
“Projek ini sudah dikenalpasti dan disebut dalam pembentangan Belanjawan 2025 dengan peruntukkan sudah ada untuk kita memulakan projek ini.
“Kita tahu kawasan pelabuhan ini kawasannya dilalui kenderaan kontena, trak yang berat muatannya, kita tak boleh elakkan sebab ia sebahagian dari aktiviti ekonomi kita.
“Jadi, bila kita buat infratsruktur kita kena pastikan ia adalah yang terbaik yang boleh menampung keperluan itu. Justeru, bila dibuat design nanti mengambil kira bahan-bahan turapan lebih kukuh dan tahan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Tapak Latihan Kren Menara Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah di Jenjarom di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan sebanyak RM107 juta diperuntuk bagi pembinaan serta menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang dalam memacu sektor logistik negara.
Ini juga selaras dalam mengekalkan kepesatan dua pelabuhan termasuk Barat yang diiktiraf sebagai pelabuhan ke-11 tersibuk dunia.
Sumber: Kosmo!
Comments