Kuching: Seorang operator kren maut selepas jentera berat dikendalikannya itu tumbang di tapak pembinaan di Jalan Petanak, di sini, malam ini.
Mangsa Manggi Nanjus, 51, tersepit di bawah jentera terbabit dan mayatnya ditemukan dalam keadaan mengerikan apabila badannya terputus dua.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bahagian anggota badan dari perut hingga kepala sudah berjaya dikeluarkan.
Beliau berkata, sehingga 9.30 malam, usaha masih dijalankan bagi mengeluarkan sebahagian lagi anggota badan yang masih tersepit di bawah jentera berat itu.
"Komander operasi melaporkan sebahagian anggota badan mangsa masih tersepit, namun sebahagian lagi anggota badan dan kepala mangsa sudah berjaya dikeluarkan pasukan bomba.
"Pihak kontraktor berusaha membuat kerja mengorek dari bawah disebabkan kren berkenaan tidak dapat ditarik untuk diletakkan pada kedudukan asal bagi mengeluarkan sebahagian lagi anggota badan mangsa," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.21 malam.
Berikutan itu, katany, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikejarkan ke lokasi.
Sumber: Harian Metro
Comentarios