KUALA LUMPUR: Anak syarikat 50 peratus Petronas Chemicals Group Bhd's (PetChem), Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPC) menyempurnakan fasa pertama pembiayaan daripada pelbagai agensi kredit eksport (ECA) dan bank untuk membayar balik pinjaman penyambung AS$1 bilion.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, PetChem berkata PPC telah melaksanakan fasa pertama pembiayaan berjumlah AS$400 juta daripada beberapa ECA dan bank komersial, yang mana dokumen pembiayaan bagi AS$200 juta dilaksanakan pada 1 April 2019.
Ia berkata, dokumen pembiayaan berikutnya sebanyak AS$200 juta dijangka dilaksanakan menjelang akhir bulan ini.
“Baki pembiayaan projek sebanyak AS$600 juta di bawah fasa 2 dijangka dilaksanakan menjelang Jun 2019, menjadikan jumlah pembiayaan projek sebanyak AS$1 bilion dengan tempoh 15.5 tahun. Hasilnya akan digunakan bagi membayar balik pinjaman penyambung,” katanya.
PetChem menambah, ECA dan bank komersial terbabit meminta PETRONAS dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), masing-masing sebagai syarikat pegangan PetChem dan Aramco Overseas Company BV (AOC) untuk menyediakan jaminan lengkap, sebagai sekuriti.
“Sebagai jaminan korporat disediakan oleh PETRONAS kepada ECA dan bank komersial, PetChem memeterai aturan jaminan melalui surat terikan pelaksanaan yang dikeluarkan kepada PETRONAS,” katanya.
AOC memiliki baki 50 peratus kepentingan dalam PPC, yang aktiviti prinsipalnya adalah untuk membangun, membina, mentauliah dan mengendali kilang polimer serta glikol untuk pengeluaran dan penjualan produk berkenaan.
Sumber: Berita Harian
Comments