KUALA LUMPUR: AME Elite Consortium Bhd (AME), penyedia penyelesaian hartanah perindustrian bersepadu, memperoleh sebidang tanah berstatus pegangan bebas berkeluasan 15.18 hektar di Taman Teknologi Johor, Senai pada harga RM106.2 juta.
Pengambilalihan yang bakal meningkatkan simpanan tanah kumpulan untuk pembangunan masa depan itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh AME, Golden Symphony Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian jual beli bersama Dahlia Utama Sdn Bhd.
Selepas selesai pengambilalihan, simpanan tanah AME akan meningkat kepada 122.2 hektar, termasuk tanah pembangunan seluas 71.2 hektar di Pulau Pinang.
"Pengambilalihan tanah baharu ini akan membuka ruang untuk melaksanakan projek pembangunan yang mencukupi sehingga 2030, kata AME dalam satu kenyataan.
Tanah di Taman Teknologi Johor terletak hanya 20 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru dan berdekatan dengan taman perindustrian utama AME, i-Park@Indahpura dan i-Park@Senai Airport City, sekali berada pada kedudukan yang baik untuk pembangunan kluster perindustrian.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME, Dylan Tan Teck Eng, berkata syarikat itu menjangkakan pemerolehan tanah baharu itu dimuktamadkan pada suku ketiga 2024 dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dalam jangka sederhana.
Beliau berkata, pertimbangan pengambilalihan itu akan dibiayai melalui gabungan pinjaman luar dan dana dalaman.
"Kami akan terus memacu pertumbuhan yang mampan terutama di wilayah Iskandar Malaysia yang sedang berkembang pesat menerusi pakatan kerjasama dan pengambilalihan tanah strategik.
"Pemerolehan terbaharu ini membolehkan kami memanfaatkan peningkatan permintaan untuk kemudahan industri berkualiti tinggi, didorong oleh landskap ekonomi Johor yang berkembang pesat, lokasi strategik dan sokongan dasar kerajaan.
"Kami yakin perkembangan ini akan menarik pelaburan domestik dan antarabangsa yang ketara, seterusnya mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia terkemuka penyelesaian ruang industri bertaraf dunia," katanya.
Taman Teknologi Johor yang menjadi kawasan perindustrian turut menempatkan hab kepada beberapa syarikat multinasional dalam elektronik, pembuatan teknologi dan sektor lain, sekali gus menonjolkan potensi kawasan itu untuk pertumbuhan industri yang berterusan.
Lokasinya yang strategik dan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Skudai-Senai dan Lebuhraya Utara-Selatan, memberikan kelebihan ketersambungan dan logistik yang baik, meningkatkan daya tarikannya kepada peserta industri.
Taman Perindustrian AME telah menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan dalam landskap perindustrian, dengan kejayaan penubuhan lima taman perindustrian di Johor.
Projek yang sedang dijalankan termasuk i-Park@Senai Airport City dan i-TechValley di SILC, menampilkan bangunan perindustrian yang dibina khas dalam kawasan berpagar dan berpengawal dengan terancang yang menggabungkan elemen reka bentuk mampan, dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan asrama pekerja.
Selain itu, AME telah menyiapkan i-Park@Indahpura, i-Park@SILC dan District 6@SILC.
Taman perindustrian itu menjadi hab kepada banyak syarikat Malaysia dan antarabangsa merentasi pelbagai industri, termasuk pembuatan bernilai tambah tinggi, logistik dan pergudangan, perkhidmatan pembuatan elektronik, teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), automotif, perubatan dan penjagaan kesihatan.
Sumber: Berita Harian
AME beli tanah RM106.2 juta di Johor bagi projek pembangunan
Kommentare