top of page

Ambil masa tingkat bekalan air di Kelantan



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak pernah berdiam diri menyelesaikan masalah bekalan air bersih bagi keperluan rakyat di negeri itu.


Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini kerajaan membuat perancangan untuk tempoh lima tahun.


Namun katanya selepas itu kadar penggunaan air meningkat disebabkan pertambahan jumlah penduduk.


“Malah menurut Menteri Alam Sekitar dan Air peruntukan sebanyak RM7 bilion diperlukan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan, dan ia sudah tentu mengambil masa.


“Kita kena faham bukan hari ini kita umum projek minggu depan sudah boleh selesai. Jadi ini perkara yang perlu difahami oleh rakyat.


“Usaha kita buat setakat kemampuan yang ada, tetapi kalau nak tengok selesai dalam sekelip mata memang mustahil,” katanya di sini.


Baru-baru ini Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Dato’ Ir Dr Azuhan Mohamed menjelaskan pelbagai perancangan dilakukan bagi meningkatkan bekalan air di Kelantan.


Antaranya Skim Bekalan Air Merbau Chondong fasa II melibatkan kos sebanyak RM127 juta, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Kampung Telok, pembinaan sistem enap cemar di Kampung Chap Bachok.


Selain itu menaik taraf LRA di Kelar Pasir Mas, Tualang Kuala Krai dan sistem rawatan air di Telok Mesira Bachok.


Malah Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM352.8 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi menaik taraf LRA di Kelantan dan program mengurangkan air tidak berhasil.


Sedangkan sebelum tahun 2003 Kelantan terpaksa berdikari bagi mengurus projek bekalan air memandangkan kurang mendapat kerjasama kerajaan pusat.



Comments


bottom of page