top of page

Ambil berat titah Agong, segerakan penyiapan Lebuhraya Pan Borneo


Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah
Gambar hiasan: Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah

KOTA KINABALU: Kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah digesa mengambil berat titah Yang di-Pertuan Agong berhubung hasrat baginda mahu menelusuri lebuh raya berkenaan seperti dizahirkan pada istiadat pembukaan persidangan Parlimen, 13 Februari lalu.


Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata kontraktor projek itu perlu memastikan kerja pembinaan dipercepatkan memandangkan tahap penyiapan sebahagian besar laluan lebuh raya berkenaan termasuk di Parlimen Sipitang belum memuaskan.


Katanya, syarikat kontraktor perlu mengambil langkah yang sistematik bagi memastikan lebuh raya berkenaan dapat disiapkan menjelang program kembara Yang di-Pertuan Agong yang dijadual bermula di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, nanti.


"Sebagaimana saya sebut dalam perbahasan Parlimen sebelum ini, kita mahu supaya kontraktor Pan Borneo mengambil langkah lebih sistemarik dalam memastikan lebuh raya itu dapat dibina mengikut jangka masa yang ditetapkan.



"Ini kerana sebagaimana yang dimaklumkan dalam titah diraja baru-baru ini di Parlimen, baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan hasrat untuk menelusuri Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.


"Baginda akan memandu sendiri, jadi maknanya ini adalah sesuatu yang harus diambil kira oleh pihak kontraktor dan tidak memperlekehkan titah Yang di-Pertuan Agong," katanya pada program berbuka puasa bersama media, di sini, semalam.



Pada istiadat pembukaan persidangan Parlimen Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak untuk mengenali dengan lebih rapat rakyat di pedalaman kedua-dua negeri.


Susulan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata baginda Yang di-Pertuan Agong dijadual melakukan kembara menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo bermula di Sarawak sebelum ke Sabah dengan melalui negara Brunei Darussalam pada September depan, sempena sambutan Hari Malaysia.


Mengulas lanjut, Matbali berkata, apa yang merisaukan beliau, tahap penyiapan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang rendah, khususnya di Sipitang yang menjadi permulaan lebuh raya itu di negeri ini mungkin menjejaskan program kembara diraja itu.


"Sebab itu kita minta kontraktor ambil langkah cepatkan pembinaan, sebagaimana dibuat di Sarawak yang sudah selesai. Cuma di kawasan kitalah (Sabah) masih banyak belum siap," katanya.


Sementara itu, katanya akibat kelembapan pelaksanaan projek lebuh raya itu khususnya di laluan Sipitang-Beaufort menimbulkan banyak masalah kepada pengguna, termasuk mengakibatkan kerosakan kenderaan dan kemalangan.


"Banyak keluhan rakyat diadukan kepada saya, terutama sekali pecah tayar dan cermin termasuk kereta anak saya sendiri pecah cermin terkena batu ketika berselisih dengan lori di laluan berkenaan," katanya.


Katanya, pengunjung dari Sarawak dan Brunei yang berkunjung ke negeri ini juga terkesan dengan keadaan jalan raya tidak menyelesakan sekali gus menimbulkan persepsi yang kurang baik kepada pelancong.


Laluan Sipitang-Beaufort yang bermula di sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin adalah jalan utama yang turut digunakan pengunjung dari Sarawak dan negara Brunei yang melancong ke negeri ini melalui jalan darat.


Kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan berkenaan yang dilakukan di jalan sedia ada menyebabkan jalan asal rosak dengan sebahagiannya bertukar menjadi jalan 'gravel' hingga menimbulkan ketidakselesaan pengguna.


Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mula dilaksanakan pada 2015 dan dijadualkan siap pada tahun depan dengan pencapaian setakat Januari lalu 73 peratus siap.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page