top of page

AmBank sasar salur RM4 bilion pembiayaan hijau


AmBank sasar salur RM4 bilion pembiayaan hijau
Gambar hiasan: Projek Pulau Andaman, Pulau Pinang

AmBank sasar salur RM4 bilion pembiayaan hijau

KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank menyasarkan untuk menggandakan pembiayaan hijaunya pada tahun ini kepada RM4 bilion daripada RM2 bilion tahun lalu.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pembiayaan itu akan tertumpu terutamanya dalam sektor hartanah, hartanah kediaman, kenderaan elektrik (EV) dan gudang.


"Tahun lalu kami menyalurkan RM2 bilion pembiayaan hijau dan tahun ini kami meletakkan sasaran untuk meningkatkannya kepada sekali ganda," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen untuk pembiayaan hijau RM130 juta dengan Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) di Kuala Lumpur, semalam.


Pembiayaan hijau itu bertujuan bagi membangunkan projek hartanah, Arica @ Pulau Andaman, Pulau Pinang serta projek di masa hadapan di pulau itu.


PMSB, sebuah syarikat tujuan khusus (SPV) yang ditubuhkan oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd, anak syarikat Eastern & Oriental Bhd (E&O) dan KWEST Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) yang adalah pemaju untuk projek Pulau Andaman.


Projek itu telah memenangi Pensijilan Sementara Platinum GreenRE pada tahun ini.


Mengulas lanjut Sulaiman berkata, pihaknya percaya melalui perkongsian itu, ia boleh membuat perubahan yang nyata bukan sahaja untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar tetapi juga untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.


"Usaha ini menunjukkan komitmen kami dalam mempromosi dan mengoptimumkan pembiayaan mampan dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada pergerakan yang semakin berkembang bersama PMSB dalam inisiatif mereka ke arah ekonomi yang mampan dan berdaya tahan", katanya.


Pengerusi Eksekutif, Eastern & Oriental Bhd, Datuk Tee Eng Ho, berkata, Arica E&O ialah projek kediaman dengan perkhidmatan kedua yang dibangunkan selepas kejayaan pembangunan kediamannya yang pertama iaitu The Meg.


"Direka untuk memenuhi piawaian Green Building Certifification, pembangunan ini sejajar dengan prinsip kelestarian dan turut diiktiraf baru-baru ini dengan Pensijilan Sementara Platinum GreenRE dibawah kategori kediaman oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).


"Sehubungan itu, kemudahan pembiayaan hijau yang ditawarkan oleh AmBank adalah cerminan komitmen kami ke arah pembangunan lestari dan di masa yang sama menggunakan inisiatif teknologi bangunan hijau bagi mencapai kualiti pembinaan yang lestari dan mesra alam.


"Kemudahan ini datang tepat pada masanya dan kami yakin Arica berada di landasan untuk disiapkan pada penghujung 2026," katanya.


Sumber: Berita Harian


AmBank sasar salur RM4 bilion pembiayaan hijau


תגובות


bottom of page