top of page

Air Selangor tingkat tahap keselamatan kontraktor


Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman (tiga dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)(dua dari kiri), Ayob Salleh mendengar penerangan keselamatan selepas melancarkan Program Pasport Keselamatan Air Selangor NIOSH, hari ini. Foto NSTP/Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil inisiatif melancarkan Program Pasport Keselamatan Air Selangor Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi memastikan kontraktor di bawahnya mematuhi peraturan.


Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, berkata menerusi program berkenaan ia akan mewajibkan semua kontraktor mengikut dasar yang meliputi aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.


“Program berkenaan sebelum ini diperkenalkan oleh NIOSH bagi membantu pengurusan induksi kontraktor dengan mengikut kehendak dan acuan industri.


“Ia sejajar dengan keperluan mematuhi peruntukan Seksyen 15 (2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang mewajibkan majikan menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan kontraktor yang bekerja di tempat kerja serta premis Air Selangor diutamakan.

“Diharapkan dengan adanya program ini, semua kontraktor dan pekerja akan mencapai tahap kesedaran keselamatan tertinggi,” katanya pada sidang media yang diadakan selepas melancarkan Program Pasport Keselamatan Air Selangor NIOSH, di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, Presint 19, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayob Salleh.


Suhaimi berkata, setiap pekerja khususnya kontraktor Air Selangor diwajibkan menjalani kursus itu supaya bersedia dengan semua aspek keselamatan.


“Antara kelebihan program ini, kontraktor mendapat pengecualian daripada mengikuti kursus Induksi Keselamatan Pekerja Kontraktor (Kad Hijau CODB), mendapat perlindungan insurans, program induksi kontraktor yang lebih tersusun dan program ini mendapat pengiktirafan daripada pihak berkuasa,” katanya.



Comments


bottom of page