KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) mungkin akan dianugerahkan kepada kontraktor bermula suku keempat tahun ini.
Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, berkata bank pelaburan itu memandang baik akan langkah kerajaan meneruskan proses pemerolehan tanah untuk projek MRT3.
"Menurut MRT Corp, pemberitahuan berhubung pemerolehan tanah yang dikenal pasti dijangka bermula pada suku kedua 2024 dengan fasa memuktamadkan pemerolehan tanah itu bakal berlangsung pada suku ketiga 2024.
"Oleh itu, kami andaikan bahawa projek MRT3 mungkin dianugerahkan pada suku keempat tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.
Adam berkata, selain MRT3 yang akan dianugerahkan pada tahun 2024, projek lain yang bakal dianugerahkan pada separuh pertama tahun ini mungkin berkait dengan projek tebatan banjir, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan pelaksanaan semula lima stesen LRT3.
Dalam pada itu, Adam berkata, jumlah nilai projek yang dianugerahkan kepada kontraktor pada 2023 mencecah RM127.4 bilion, 22 peratus lebih rendah berbanding RM163.2 bilion yang dicatat pada 2022, menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
"Meskipun begitu, kami memandang hal ini sebagai halangan sementara kerana pemberian kontrak dijangka akan disokong oleh perbelanjaan pembangunan (DE) yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM90 bilion bagi 2024.
"21 peratus daripada DE ini tertumpu pada subsektor pengangkutan berbanding 18 peratus pada 2023," katanya,
Adam berkata, nilai projek kerajaan yang dianugerahkan pada 2023 dilihat menurun 33 peratus tahun ke tahun, mencecah RM29 bilion berbanding RM43.9 bilion pada 2022.
"Mengikut jenis projek, projek infrastruktur merekodkan penurunan nilai projek tahunan terbesar, iaitu penurunan 47 peratus tahun ke tahun (tatkala kekurangan kerja-kerja awam berskala besar pada 2023).
"Hal ini diikuti oleh projek kediaman yang menurun 37 peratus berbanding setahun lalu.
Namun, projek bukan kediaman melawan trend dengan mencatat kenaikan empat peratus tahun ke tahun menjadi RM76.8 bilion," katanya.
Menurut Adam, pemangkin akan datang buat sektor ini adalah jangkaan lebih ramai kontraktor yang berpangkalan di Malaysia dalam projek pembinaan ibu negara baharu Indonesia.
"Setakat ini, IJM Corp sedang menyasar untuk meraih projek perumahan penjawat awam di Nusantara (bernilai sekitar RM1 bilion), manakala beberapa syarikat Malaysia lain telah menghantar surat niat pada 2022.
"Surat itu sedang dinilai oleh Pihak Berkuasa Ibu Negara Nusantara. Pemangkin lain ialah pelancaran lebih cepat daripada jangkaan bagi tiga laluan yang dicadangkan untuk Transit Aliran Ringan Johor Bahru.
"Kerajaan Johor dilaporkan bertekad menghantar cadangan untuk projek ini kepada Kerajaan Persekutuan pada lewat November 2023," katanya.
Sumber: Berita Harian
Agihan kontrak projek MRT3 dijangka suku terakhir 2024
Comments