top of page

Agensi KKR, PBT perlu bertindak segera aduan jalan rosak


Agensi KKR, PBT perlu bertindak segera aduan jalan rosak
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) ketika sidang media selepas melancarkan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.- Foto Bernama

Agensi KKR, PBT perlu bertindak segera aduan jalan rosak

KUALA LUMPUR: Semua agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat negeri perlu sentiasa proaktif melaksanakan tindakan segera terhadap aduan kerosakan jalan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Nanta berkata Kerajaan Persekutuan telah menyediakan saluran khas aduan pengguna jalan raya menerusi aplikasi MyJalan justeru, tindakan segera mesti dilaksanakan sebaiknya.


Katanya, sejak dilancarkan Ogos lepas, peringkat awal inisiatif berkenaan dilihat berkesan dalam menangani isu kerosakan jalan raya. "Kita lihat setakat ini prestasi inisiatif MyJalan agak tinggi, kerana sebaik aduan diterima kita laksanakan tindakan segera.


"Kita amalkan konsep no wrong door policy, maka aduan jalan rosak yang bukan di bawah seliaan JKR (Jabatan Kerja Raya) seperti jalan negeri juga kita salurkan kepada agensi terlibat, justeru semua pihak ini juga perlu bertindak segera," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.


Sementara itu, mengenai cadangan mengkaji semula gaji permulaan bagi jurutera, Nanta berkata pihak terlibat masih memperhalusi cadangan berkenaan yang telah dikemukakan sejak Disember tahun lepas.


Mengulas mengenai HPTN 2023 pula, Nanta berkata sambutan itu adalah sebagai platform penggerak merealisasikan perkhidmatan profesion teknikal berprestasi tinggi, berinovasi, pakar dan menyahut cabaran dalam arus teknologi moden yang pesat membangun.


"Program ini diharap dapat mengukuhkan lagi jaringan kerjasama antara agensi, berkongsi ilmu dan pengalaman, menyuarakan pandangan dan memberi idea berkaitan profesion ini.


"Pada masa sama, saya pasti HPTN adalah platform terbaik dan paling sesuai digunakan untuk menyebarluaskan maklumat di samping memupuk minat golongan muda untuk menceburi bidang teknikal," katanya.


Beliau berkata HPTN 2023 yang dijadual pada 4 dan 5 Dis ini di Putrajaya akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka melibatkan penyertaan 44 wakil pelbagai agensi, institusi akademik serta pemain industri.


"Pelbagai aktiviti disusun dan dirancang sepanjang program HPTN 2023 antaranya webinar, Program CSR, BIM day, Car Free Day, reruai pameran, anugerah tokoh teknikal dan pameran kerjaya serta pelbagai lagi," katanya.


Sumber: Astro Awani


Agensi KKR, PBT perlu bertindak segera aduan jalan rosak


Comentarios


bottom of page