top of page

Aerotrain KLIA dijangka beroperasi menjelang 31 Januari 2025


Aerotrain KLIA siap pada Januari 2025 untuk perkhidmatan pengangkutan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
Projek Aerotrain di KLIA dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025 setelah melalui proses pemasangan dan ujian dinamik.

Berita terkini industri pembinaan Malaysia dan perkembangan projek besar seperti Aerotrain KLIA

Sepang: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula menjelang 31 Januari 2025, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Beliau berkata dua set Aerotrain telah tiba minggu lepas, dan kini sedang memasuki fasa pemasangan sebelum seterusnya kepada fasa pemeriksaan.


"Fasa ini sudah tentu mengambil masa kira-kira empat bulan dan jika semuanya berjalan lancar, kita dijangka mula beroperasi pada 31 Januari tahun depan," katanya selepas meninjau dan memeriksa Aerotrain baharu di Terminal 1 KLIA di sini hari ini.


Menurutnya pemeriksaan dinamik akan dimulakan pada Oktober ini, dengan Aerotrain akan diuji menggunakan trek sebenar serta melakukan perkhidmatan berulang-alik.


"Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan kepada penumpang dan orang ramai supaya sekiranya melihat Aerotrain beroperasi, ia adalah ujian untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar," katanya.


Loke berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu melaksanakan pemantauan rapi dan memastikan semua proses serta ujian dijalankan dengan baik supaya tidak ada lagi kelewatan.


"Tahun depan adalah tahun utama untuk negara kerana akan mempengerusikan ASEAN dan mesyuarat antarabangsa, dan tentunya kita mengharapkan Aerotrain ini bersedia," katanya.


Menurut Loke, secara keseluruhan, MAHB akan menerima tiga set Aerotrain dan setiap set mempunyai tiga koc yang boleh menampung kapasiti seramai 270 penumpang.


"Set yang ketiga akan tiba pada Oktober dan dijadikan tren simpanan," katanya.


Beliau berkata perkhidmatan bas pengantara yang sebelum ini digunakan untuk menggantikan Aerotrain akan diteruskan sebagai opsyen kepada penumpang berikutan pergerakan besar penumpang pada masa ini.


Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.


Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.


Sumber: Harian Metro


Aerotrain KLIA dijangka beroperasi menjelang 31 Januari 2025


Comments


bottom of page