
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan sekali gus akan terus memulakan operasi, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
"Fasa pengujian, pentauliahan (testing and commissioning) dan kelulusan beroperasi aerotrain sudah bermula pada pertengahan September 2024," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Pada September lalu, Loke dilaporkan berkata dua set Aerotrain sudah tiba dan sedang memasuki fasa pemasangan sebelum melalui fasa pemeriksaan.
Beliau menjangkakan perkhidmatan itu mula beroperasi menjelang 31 Januari 2025.
Berhubung perjanjian baharu yang dimeterai berkaitan pelan penggantian Aerotrain, Loke berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah menandatangani Letter of Agreeméent (LOA) dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (Alstom) dan JV IJM Construction Sdn Bhd, Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV) pada 12 Januari 2024.
"Berdasarkan analisis, pihak MAHB menjangkakan kos terkini ialah RM456.1 juta.
"Ia merangkumi kos cukai duti, faedah, pertukaran matawang asing, perbelanjaan mobilisasi semula serta caj penyelarasan projek," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments