KUALA LUMPUR 16 Dis - Advancecon Holdings Bhd meraih kontrak bernilai RM44.6 juta bagi kerja-kerja infrastruktur Elmina West daripada Sime Darby Property Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak itu dianugerahkan kepada anak milik penuh syarikatnya, Advancecon Infra Sdn Bhd dan akan bermula daripada 2 Januari 2025 sehingga 1 Julai 2026.
"Skop kontrak ini merangkumi kerja infrastruktur utama yang komprehensif, termasuk jalan raya, sistem perparitan, retikulasi air, pembetungan, telekomunikasi dan infrastruktur penting lain yang direka bentuk untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang dan kemampanan komuniti Elmina West.
"Dengan nilai buku pesanan belum dibil kumpulan itu telah meningkat kepada RM321.6 juta," katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, kumpulan itu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Sime Darby Property, sebagai pelanggan mereka.
“Kontrak ini menekankan lagi kekuatan perkongsian kami dan keupayaan kami untuk memberi rumusan infrastruktur yang memenuhi keperluan mereka.
"Setelah mengusahakan pelbagai projek dengan Sime Darby Property, kami komited untuk mempertahankan kualiti dan kecekapan yang mereka jangkakan daripada Advancecon.
“Projek ini merupakan satu lagi peluang untuk kami menyumbang kepada pembangunan Elmina West, sebuah perbandaran utama di Selangor, dengan memastikan penghantaran kerja infrastruktur berkualiti tinggi tepat pada masanya.
"Sebagai sebuah syarikat, kami tetap menyasar untuk mengekalkan standard tertinggi kualiti, keselamatan dan kecekapan, yang membentuk asas perkongsian kekal kami,” katanya.
Sumber: Dagang News
Comments