top of page

Advancecon pelbagaikan portfolio aset tenaga menerusi peluang teroka projek mini hidro


Advancecon Holdings Bhd

KUALA LUMPUR 9 Dis - Advancecon Holdings Bhd berhasrat meneroka peluang dalam projek mini hidro dan kecekapan tenaga, bagi mempelbagaikan portfolio aset tenaga boleh diperbaharui dan aliran pendapatan syarikat selain fokus kepada tenaga solar.


Syarikat itu juga sedang mempertimbangkan penggabungan dan pengambilalihan di peringkat tempatan dan serantau untuk memperluaskan portfolio tenaganya sambal mengukuhkan komitmen terhadap matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, syarikat berada di peringkat awal meneroka peluang baharu dan akan terus mengkaji risiko dan dinamik pulangan setiap peluang, baik di peringkat tempatan dan serantau. 


Katanya, projek hidro itu dijangka menyokong pertumbuhan kewangan syarikat dari semasa ke semasa," katanya kepada SunBiz.


Beliau berkata, kejayaan Advancecon menyiapkan ladang fotovoltaik solar berskala besar baru-baru ini dan rancangan untuk memperluaskannya kepada 50MWp pada 2025 akan membolehkan syarikat menjana aliran pendapatan yang stabil dan boleh diramalkan sambil menyumbang kepada matlamat kelestariannya.


Ang Kia pada masa sama menegaskan visi kumpulan untuk menjadi kontraktor infrastruktur dan kerja tanah global.


Bagi mencapai matlamat itu beliau berkata, syarikat akan terus meneroka pelbagai peluang di pasaran dalam perniagaan sedia ada untuk meningkatkan pendapatan dan keuntungan dalam lima tahun akan datang. 


"Walaupun menghadapi cabaran semasa, kami akan terus bekerja keras untuk mengembangkan pendapatan perkhidmatan pembinaan dan sokongan serta aset pendapatan berulang bagi mencapai sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah pendapatan kumpulan," jelasnya.


Beliau turut menekankan, pelaburan dalam automasi, teknologi dan mesin baharu, membolehkan kumpulan mengawal kos dan memberi tumpuan kepada pengoptimuman sumber untuk mengurangkan pembaziran.


Selain itu katanya, bagi menyokong pelan peluasan, kumpulan sedang meneroka pilihan sukuk dan pembiayaan hijau serta bekerjasama dengan agensi kerajaan tempatan dan pemain domestik untuk berkongsi kepakaran dalam pengoptimuman kos dan mencapai pertumbuhan yang mampan.


Bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2024, Advancecon mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM0.004 juta, pemulihan ketara daripada kerugian RM0.61 juta pada suku yang sama tahun lepas. 


Ini mencerminkan peningkatan 101% berbanding tahun sebelumnya. 


Keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak RM0.09 juta, atau 26%, mencapai RM0.45 juta.


Namun, pendapatan kumpulan menurun sebanyak 22% berbanding tahun lalu kepada RM95.81 juta, penurunan sebanyak RM26.84 juta. 


Sumber: Dagang News

Comments


bottom of page