top of page

Adakah Borneo Akhirnya Bakal Miliki Projek Kereta Api Trans-Borneo?


Adakah Borneo Akhirnya Bakal Miliki Projek Kereta Api Trans-Borneo? Sumber foto: Brunergy Utama Sdn Bhd

Langkah pertama bakal bermula untuk Projek Kereta Api Trans-Borneo

Adakah Borneo Akhirnya Bakal Miliki Projek Kereta Api Trans-Borneo? Sebelum ini, heboh desas-desus mengenai Projek Kereta Api Trans-Borneo yang bakal menghubungkan akses laluan darat di antara tiga buah negara di Pulau Borneo iaitu Malaysia (Sarawak dan Sabah), Brunei dan juga Indonesia. Kini, impian ini tampaknya semakin menyinar.


Menurut laporan media tempatan Sarawak, Kementerian Pengangkutan Malaysia kini dalam proses melantik perunding untuk menjalankan kajian kemungkinan Projek Kereta Api Trans-Borneo. Kajian ini bakal dibiayai oleh kerajaan persekutuan Malaysia.


Perunding bakal mulakan kajian November 2024 untuk kebarangkalian projek ini

Timbalan Menteri Pengangkutan (Jalan Raya dan Penerbangan) Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil menjelaskan bahawa perunding-perunding ini akan menjalankan kajian kemungkinan untuk menilai dan menentukan model-model kereta api yang berpotensi untuk dilaksanakan di Sarawak dan Sabah.


Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) mewakili kerajaan Sarawak dalam kedua-dua jawatankuasa teknikal dan pemandu, bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia, agensi-agensi persekutuan yang berkaitan, badan-badan berkanun, dan Kerajaan Sabah untuk menyelaras dan mengawasi kajian tersebut.


Skop kajian Projek Kereta Api Trans-Borneo

Ahli jawatankuasa dari Sarawak termasuk wakil-wakil dari Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Sarawak, dan Jabatan Tanah dan Ukur (L&S) Sarawak.


Skop kajian kemungkinan ini merangkumi:

  • Aspek teknikal termasuk ciri-ciri operasi, kos, penjajaran, lokasi stesen dan depot.

  • Aspek komersial meliputi visi strategik, anggaran permintaan, dan model pelaksanaan.

  • Aspek sosio-ekonomi termasuk impak ekonomi dan sosial.

  • Pembiayaan projek yang melibatkan struktur pembiayaan dan model kewangan.


Dr Jerip menambah bahawa model kewangan projek Trans-Borneo ini akan ditentukan selepas kajian kemungkinan ini selesai. Kajian ini dijangka mengambil masa 12 bulan dan akan bermula pada November 2024, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pada 12 Oktober lalu.


Pengumuman ini dibuat semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai respons kepada pertanyaan daripada ahli dewan undangan Ba’Kelalan, Baru Bian.


Apa pendapat anda? Adakah kita akhirnya kelak akan mendapat akses kepada jaringan kereta api, sebuah mod pengangkutan awam jarak jauh yang sudah lama diimpikan dan diperlukan di pulau ketiga terbesar di dunia ini? Sama-sama kita nantikan.


Sumber: I Love Borneo

Commentaires


bottom of page