
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.81 bilion untuk projek pembangunan di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam Rolling Plan Keempat Tahun 2024.
Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sebanyak 92 projek baharu sudah diluluskan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 425 projek.
Katanya, jumlah peruntukan berkenaan membabitkan peningkatan sebanyak RM0.24 bilion berbanding peruntukan asal yang diluluskan pada tahun lalu.
"Kementerian Kerja Raya (KKR) mencatatkan jumlah peruntukan pembangunan terbesar pada tahun ini iaitu RM0.8 bilion membabitkan 32 projek.
"Projek utama di bawah KKR termasuklah enam pakej pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai (KBKK) dan sembilan pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Krai ke Gua Musang.
"Kesemua 14 daripada 15 pakej berkenaan kini dalam pelaksanaan manakala satu pakej di peringkat perolehan dengan jumlah keseluruhan kos pembinaan adalah sebanyak RM4.79 bilion," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim pada Majlis Makan Malam Bersama Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM di The Grand Renai Hotel, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, selain itu, jaringan pengangkutan menyeluruh termasuk pembinaan jajaran lebuh raya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kini sedang rancak berjalan.
"Dalam merapatkan jurang pembangunan bandar dan desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mencatatkan bilangan projek tertinggi di Kelantan iaitu sebanyak 129 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.28 bilion merangkumi projek jalan dan jambatan serta bekalan air dan elektrik di luar bandar," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan berkata, kerajaan juga sudah meluluskan fasa baharu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).
"Ia membabitkan kos RM1.06 bilion bagi Fasa 2 Sungai Kelantan dan RM0.5 bilion bagi Fasa 3 Sungai Golok.
"Sebanyak 13 projek secara terkumpul berkaitan banjir di pelbagai peringkat pelaksanaan sudah diluluskan di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.83 bilion," katanya.
Beliau berharap semua pihak, khususnya agensi pelaksana yang terbabit dapat memastikan pelaksanaan projek-projek itu berjalan dengan lancar dan mengelakkan sebarang masalah yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaannya.
"Saya akan memastikan keseluruhan projek pembangunan di negeri Kelantan dilaksanakan sebagaimana dirancang dan dapat disiapkan dalam tempoh yang disasarkan sekaligus memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan sejumlah RM2.57 bilion untuk pelaksanaan 454 projek di Kelantan di bawah peruntukan pembangunan RMK12 dalam Rolling Plan 3.
"Daripada jumlah projek yang dilaksanakan, sebanyak 38 projek sudah disiapkan antaranya pembinaan jejambat dari Kota Bharu merentasi Bulan Wakaf Bharu dengan kos RM195.8 juta; penstabilan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas dengan kos RM64.3 juta; dan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Tumbi, Jeli dengan kos RM67.5 juta," katanya.
Sumber: Berita Harian
92 projek baharu diluluskan di Kelantan tahun ini
Comments