top of page

8 tahun menunggu rumah siap


PROJEK Perumahan Taman Sri Purnama, Gong Chempedak Fasa 3 yang sudah terbengkalai sejak lapan tahun lalu.

Marang: "Kami sangat menderita. Tidak tahu apa masalah sebenarnya. Seperti ada yang tidak kena dengan projek ini."


Itu luahan pembeli projek Perumahan Taman Sri Purnama, Gong Chempedak Fasa 3 di sini yang sudah terbengkalai sejak lapan tahun lalu, sekali gus meranapkan impian mereka memiliki rumah impian.


Sehubungan itu, mereka merayu pihak berkenaan terutama pemaju untuk menyiapkan projek perumahan itu dengan segera.


Seorang pembeli, Mohd Hafiz Salleh, 38, berkata, projek berkenaan dibina pemaju swasta pada 2016 yang ditawarkan pada harga antara RM73,000 hingga RM148,000 seunit mengikut jenis kediaman.


Katanya, rata-rata pembeli adalah golongan B40 yang tinggal menyewa selain ada yang menumpang rumah keluarga dan amat memerlukan kediaman sendiri.


"Tetapi sudah lapan tahun kami menunggu (rumah idaman) hingga sekarang tak dapat-dapat.


"Kami tidak tahu apa masalah sebenar menyebabkan sehingga sekarang projek ini tidak siap," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Lebih menyedihkan, katanya, pembeli turut dibebani masalah kewangan apabila terpaksa membayar sewa rumah dan pinjaman dengan bank serta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) antara RM400 hingga RM800 setiap bulan.


Penjawat awam memiliki dua anak itu berkata, disebabkan bebanan kewangan, dia terpaksa menumpang rumah ibu kerana tidak mampu menyewa rumah lain.


Katanya, dia tiada pilihan dan terpaksa tumpang rumah orang tuanya walaupun keadaan tidak selesa.


"Beli rumah sendiri pun sampai sekarang tak dapat-dapat," katanya.


Seorang lagi pembeli, Abdul Halim Mohamad, 37, dari Kampung Binjai Rendah berkata, mereka difahamkan projek perumahan berkenaan dapat diteruskan selepas kerajaan mewartakan ia sebagai projek terbengkalai.


Namun, katanya, yang menjadi persoalan mereka tidak tahu bila projek berkenaan diwartakan sebagai projek terbengkalai kerana mereka difahamkan surat berkaitan status projek berkenaan sudah dihantar kepada kementerian.


Menurutnya, penduduk sangat berharap pihak berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi pembeli dengan segera.


Sumber: Harian Metro

Opmerkingen


bottom of page