Putrajaya: Sejumlah 758 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai lewat, sakit dan terbengkalai direkodkan sehingga April lalu dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM189.67 bilion.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, mengikut pecahan, 205 projek dikategorikan sebagai lewat manakala masing-masing 438 (sakit) dan 115 terbengkalai.
Menurutnya, nilai itu menunjukkan terdapat pengurangan terhadap bilangan projek lewat dan sakit manakala terbengkalai masih pada jumlah yang sama berbanding sehingga Februari lalu.
Katanya, bagi tempoh Januari sehingga April sebanyak 117 projek iaitu bersamaan 20,489 unit perumahan swasta berjaya dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM14.89 bilion.
"Jumlah projek yang berjaya ini merangkumi 163 projek yang telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), 11 projek yang berstatus sakit kembali lancar manakala tiga projek terbengkalai berjaya dipulihkan," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata, satu projek perumahan swasta terbengkalai dan berjaya diselesaikan adalah Perumahan Taman Desa Barakah (Fasa 5), Tanah Merah, Kelantan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli pada Mac lalu.
Menurutnya, bagi suku tahun pertama 2024, sebanyak lima lawatan tapak projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai telah dilawati iaitu Dynaton Impiana Taman Bahagia, Temerloh, Pahang; Taman Rasa Utama, Kuala Kubu Bharu, Selangor; D'jewel Gardens, Gombak; Taman Malim Putra, Tanjung Malim, Perak dan Pangsapuri Impian, Meru, Klang.
Katanya, KPKT memperuntukkan RM4.8 juta bagi memulihkan tiga projek perumahan swasta terbengkalai di Selangor melalui Inisiatif Belanjawan 2023 membabitkan Pangsapuri Meru, Taman Meru Makmur, Klang Lot 2223 dan 2224 dan Taman Meru Makmur Lot 2225.
Katanya, peruntukan inisiatif itu adalah obligasi sosial daripada Kerajaan MADANI kepada para pembeli yang terkesan dengan projek perumahan swasta terbengkalai yang disalurkan bagi menyiapkan projek perumahan swasta terbengkalai sehingga memperoleh CCC.
"KPKT berhasrat meneruskan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) memfokuskan kepada projek perumahan swasta terbengkalai tanpa lesen dan sehingga 30 April lalu sebanyak 175 projek swasta terbengkalai tanpa lesen direkodkan di Semenanjung," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments